Bukan Haaland sahaja ancaman Liverpool – Klopp

Liverpool: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui skuadnya tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada penyerang, Erling Haaland menjelang pertembungan dengan Manchester City, esok kerana juara bertahan itu mempunyai banyak pemain lain yang mampu memberi ancaman.

Haaland yang juga pemain antarabangsa Norway, sudah menjaringkan 20 gol musim ini, termasuk 15 gol di Liga Perdana dan akan mencetuskan ancaman terbesar di Anfield.

City dan Liverpool sudah menjadi kuasa dominan dalam Liga Perdana sejak beberapa musim kebelakangan ini tetapi skuad bimbingan Klopp memulakan kempen kali ini dengan agak hambar apabila hanya memenangi dua daripada lapan perlawanan liga pertama mereka.



Liverpool kini menduduki tangga ke-10, 13 mata ketinggalan di belakang City di tempat kedua yang sudah meledak 33 gol dalam hanya sembilan perlawanan Liga Perdana.

Haaland sudah menjaringkan gol dalam setiap perlawanan untuk City di semua pertandingan kecuali satu perlawanan.

“Seperti biasa apabila anda bermain menentang penyerang terbaik di dunia, anda perlu memastikan dia tidak menguasai bola.

“Itulah yang anda perlu lakukan sebelum cuba mencabar mereka. Tapi apabila bertemu City masalahnya adalah jika terlalu ramai pemain menjaga Haaland, maka anda membuka ruang kepada pemain lawan yang lain.



“Ia satu cabaran, tetapi kami cuba mencari jalan penyelesaian,” kata Klopp pada sidang media pra-perlawanan.

Klopp berkata, potensi Haaland pada usia seawal 22 tahun adalah cukup menakjubkan.

“Dia menetapkan standard baharu gabungan antara fizikal dan teknikal. Aksinya di atas padang adalah luar biasa.

“(Dia mempunyai) beberapa pemain terbaik di sekelilingnya dalam usaha mencipta gol seperti Kevin De Bruyne, Ilkay Gundogan, Bernardo Silva, Phil Foden dan (Riyad) Mahrez,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button