‘Dealer’ tak tarik ‘handbrake’ punca kereta mengundur – Polis

Oleh – Syeikh Baran


‘Dealer’ tak tarik ‘handbrake’ punca kereta mengundur – Polis
Tangkap layar CCTV yang memaparkan sebuah kenderaan mengundur sebelum dilanggar dua buah motosikal.

Tidak menarik brek tangan dengan kemas menjadi punca kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal di Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kejadian pada pukul 8.20 pagi itu berlaku apabila pemandu lelaki yang bekerja sebagai penasihat jualan meletakkan kenderaan di hadapan pejabat Perodua Balakong.



“Disebabkan tidak menarik brek tangan dengan kemas, kenderaan tersebut mengundur keluar sehingga ke jalan utama lalu menyebabkan dua penunggang motosikal melanggar bahagian kiri kenderaan tersebut.

“Akibat dari kemalangan, penunggang motosikal mengalami kecederaan manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Rule 14 LN 166/59.

Tegas Mohd Zaid, pihak polis menasihatkan pemandu kenderaan agar berhati-hati dan cermat semasa menggunakan kenderaan supaya tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain.



“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Nor Shahidan di talian 012-3910630 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 51 saat memaparkan kereta berwarna putih meletakkan kenderaannya di sebuah premis.

Bagaimanapun, beberapa saat kemudian kenderaan tersebut telah mengundur keluar daripada premis berkenaan tanpa pemandu menghala ke jalan utama.

Ekoran kejadian itu, dua motosikal telah berlanggar dengan kereta terbabit yang berada di tengah jalan itu.



Sumber – KOSMO! ONLINE.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button