Kediaman keluarga Zayn Rayyan sekali lagi jadi tumpuan

Oleh – Syeikh Baran


Kediaman keluarga Zayn Rayyan sekali lagi jadi tumpuan
Polis mengawal ketat laluan masuk ke kediaman kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mateen, di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya. Foto Bernama

Kediaman keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini sekali lagi menjadi tumpuan selepas kira-kira enam bulan kanak-kanak autisme itu ditemukan mati pada Disember tahun lepas.

Ini berikutan polis dilaporkan membawa ibu kepada Zayn Rayyan bagi melakonkan semula situasi kejadian semasa kehilangan Zayn Rayyan sehingga kepada penemuan mayatnya.



Tinjauan Bernama mendapati sebuah van dipercayai membawa ibu mangsa ke kediamannya di Blok R pada 10.15 pagi tadi dan keluar kira-kira 12.20 tengah hari.

Difahamkan, wanita terbabit dibawa semula ke kediaman dan lokasi kanak-kanak berkenaan ditemukan iaitu saliran sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediaman yang dihuni keluarga berkenaan.

Anggota polis turut dilihat membawa patung kanak-kanak namun belum dapat dipastikan kegunaan patung berkenaan.

Terdahulu, seawal 10 pagi, sepasukan polis membuat dua sekatan laluan menuju ke Blok R apartment berkenaan selain pihak media diarahkan berada di sebuah pondok manakala pergerakan setiap penduduk diiringi anggota polis.



Kenderaan membawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, turut dilihat memasuki kawasan perumahan terbabit bersama pasukan siasatan terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Kira-kira 2.30 petang, beberapa kenderaan polis dan forensik dilihat beredar dari kawasan kediaman terbabit serta pita kuning diletakkan di laluan masuk lokasi kejadian.

Pada Jumaat lepas, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung hingga 13 Jun ini bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan terhadap kedua-dua mereka.

Hussein dilaporkan berkata, keterangan tidak konsisten antara faktor tempoh reman ibu bapa kanak-kanak autisme itu disambung.



Pada 6 Disember tahun lepas, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button