‘Saya masih peguam wakili ibu Zayn Rayyan’ – Mahmud

Oleh – Syeikh Baran


 

'Saya masih peguam wakili ibu Zayn Rayyan' - Mahmud
Peguam, Mahmud Abdul Jumaat menegaskan bahawa beliau masih mewakili ibu kepada ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme itu.

Menerusi satu kenyataan di laman sosial Facebooknya, Mahmud berkata, ia berdasarkan pertimbangannya selepas berjumpa dengan keluarga itu.



Menurutnya, pada 31 Mei lalu, beliau telah dihubungi oleh keluarga bapa Zayn Rayyan pada jam 11 malam, selepas pasangan suami isteri itu (Zaim dan Isma) ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman, keesokkan harinya.

“Saya ingin tekankan bahawa, ini bukan inisiatif NGO (pertuduhan bukan kerajaan) tetapi inisiatif keluarga bapa Zayn Rayyan sendiri, namun entah dari mana pula cerita itu timbul.

“Menyentuh isu surat perlantikan rasmi, saya dengan niat yang suci, ingin membantu kerana dalam hati ini terdetik rasa kasihan, sudahlah kehilangan anak, sekarang direman menjadi OYDS (orang yang disyaki) pula, sungguh besar dugaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, ketika itu tidak terfikir perlantikan tersebut akan menjadi isu yang akan dibangkitkan oleh pihak keluarga bapa Zayn Rayyan, walhal tiada kewajipan untuk surat perlantikan peguam secara rasmi bagi kes jenayah.



Katanya, asalkan pihak OYDS atau wakil keluarganya sudah setuju untuk melantik peguam tersebut, sudah memadai.

Apatah lagi katanya, sebelum memasuki mahkamah, beliau disahkan oleh keluarga ibu bapa mangsa sendiri untuk memberikan amanah ini, bagi bantahan reman.

Menurutnya, tidak perlu disangkal bahawa beliau sememangnya berada di mahkamah pada hari tersebut, kerana hanya mereka (firma guamannya), peguam yang dipanggil oleh keluarga itu.

Beliau turut mempersoalkan tindakan keluarga itu, memanggilnya untuk proses reman di mahkamah, sekiranya mereka mendakwa tiada lantikan dibuat.



“Pada hari Ahad, pihak keluarga iaitu datuk Zayn Rayyan pula mahu berjumpa saya kerana beliau tidak berada di mahkamah ketika reman, jadi saya dengan ikhlas mengajak mereka untuk berjumpa dan berbincang dengan saya di pejabat pada hari Isnin walaupun 3 Jun lalu merupakan hari cuti umum.

“Saya berkorban masa demi memudahkan urusan mereka, tetapi selepas perjumpaan tersebut iaitu keesokannya, saya membuat keputusan untuk tidak mewakili mereka atas sebab-sebab tertentu.

“Tiba-tiba saya menerima berita bahawa saya tidak pernah dilantik untuk menjadi peguam ibu bapa Zayn Rayyan, bagi saya ini adalah fitnah!

“Saya datang mahkamah tempoh hari untuk apa, kenapa hubungi saya malam itu untuk datang ke mahkamah, mereka datang ke pejabat saya tempoh hari untuk apa?” soalnya.



Bukan itu sahaja, beliau berkata, keluarga Zaim terutamannya ibu Zaim sentiasa menghubunginya sepanjang tempoh itu selain meminta nasihat dan bertanya pendapat sebagai peguam.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada Ahad, datuk Zayn Rayyan menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp dan memohon maaf berhubung isu yang berlaku.

Susulan itu, beliau berharap isu perlantikan peguam tidak lagi berbangkit selepas ini.

Bagaimanapun beliau mengucapkan terima kasih kepada keluarga ibu Zayn Rayyan, atas pencerahan yang dibuat dengan mengesahkan bahawa barisan peguamnya, membantu keluarga sejak awal kes.



“Saya rasa cukuplah kita berbincang tentang isu pelantikan peguam ini, diharap kita semua boleh terus berdoa agar arwah Zayn Rayyan mendapat keadilan.

“Maaf kepada semua yang menanti penjelasan ini, saya juga seperti mana semua rakyat Malaysia, yang inginkan keadilan buat Zayn Rayyan, yang dibunuh serta diseksa secara kejam,” katanya.

Pada pagi Selasa minggu lalu, Mahmud dari Tetuan Emir Mahmud & Co mengesahkan, tidak lagi mewakili pasangan itu.

Katanya, keputusan tidak mewakili kepada kedua ibu bapa Zayn Rayyan dibuat di atas faktor-faktor tertentu.



Pada petang hari sama pula, peguam, Fahmi Abd Moin mengesah telah dilantik bagi mewakili pasangan suami isteri itu.

Pada Jumaat lalu, bapa kepada suspek lelaki, Zahari Mohd Reba, 56, memaklumkan, pelantikan Mahmud adalah berdasarkan inisiatif NGO.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button