Jual dadah dalam peket animasi

Oleh – Syeikh Baran


Jual dadah dalam peket animasi
Hussein (dua dari kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Selangor hari ini. FOTO: AFIQ RAZALI

Kegiatan dua sindiket pengedaran dadah menjual bahan terlarang tersebut termasuk serbuk ecstasy dalam peket hero animasi tumpas selepas ditahan dalam dua serbuan, baru-baru ini.

Serbuan yang dilakukan di Klang Selatan, Subang Jaya dan Rawang selama dua hari bermula 5 Jun lalu berjaya menahan lima suspek termasuk kontraktor binaan berusia 30 hingga 50 tahun selain merampas pelbagai dadah bernilai RM4,92 juta.



Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati kedua-dua sindiket telah beroperasi antara tiga hingga enam bulan lalu.

Katanya, kesemua suspek bertindak sebagai pengedar dan transporter bagi pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang.

“Modus operandi mereka adalah membeli dadah tersebut daripada tempat lain sebelum menjualnya kepada pengedar kecil.

“Mereka menjualnya termasuk di pusat hiburan dalam bentuk peket jus yang menarik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.



Menurut beliau, berdasarkan serbuan tersebut kebanyakan dadah banyak dirampas di sebuah rumah dan kereta jenis Honda HRV di Klang Selatan yang bernilai RM4.12 juta.

Ujarnya, antara dadah tersebut termasuk ecstasy yang seberat 16.8 kilogram (kg), pil erimin 5 ( 7.2 kg), ketamin (6.7 kg), syabu (4.3 kg) dan heroin base (1.1 kg).

“Rampasan kedua adalah di tempat letak kereta pusat beli belah sekitar Subang Jaya yang merampas 20 bungkusan syabu seberat 20.8 kg yang disimpan dalam satu beg kanvas berwarna putih.

“Polis turut menyita dua kenderaan masing-masing jenis Mercedes Benz CLA 200 dan Toyota CHR, sebentuk cincin emas dan wang tunai yang bernilai keseluruhan RM283,205,” katanya.



Beliau menjelaskan semakan mendapati kelima-lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan tiga daripadanya positif amphetamine dan methamphetamine.

“Mereka kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber – KOSMO!ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button