Lapan direman bersengkokol jual tanah Felda RM400 juta

Oleh – Syeikh Baran


Lapan direman bersengkokol jual tanah Felda RM400 juta
Lapan individu ditahan reman dipercayai terlibat dalam sindiket penjualan tanah Felda di Melaka.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lapan individu dipercayai menerima rasuah hampir RM2 juta daripada sindiket penjualan tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Melaka.

Menurut sumber, mereka yang ditahan di Kuala Lumpur membabitkan tiga broker dan dua orang awam, manakala di Sabah melibatkan dua pegawai bank serta seorang pengarah syarikat yang berusia sekitar 20-an hingga 50 tahun.



Katanya, tiga broker bersama-sama pengarah syarikat dan dua orang awam berperanan sebagai orang tengah didakwa memberi rasuah hampir RM2 juta kepada dua pegawai bank sebagai balasan membantu meluluskan pembukaan akaun yang kononnya didaftarkan atas nama Felda.

“Akaun perbankan yang dibuka dengan bantuan pegawai bank berkenaan atas nama Felda ini bagi memancing kepercayaan pembeli yang menyangkakan bahawa urus niaga penjualan tanah itu adalah ‘genuine’ (asli) daripada Felda, seterusnya melakukan pembayaran ke akaun tersebut.

“Tindakan pegawai bank yang bersekongkol dengan sindiket ini telah menyebabkan tanah milik Felda seluas lebih kurang 260 hektar bernilai RM400 juta di Bukit Katil, Melaka telah dijual pada 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan antara pukul 6 petang semalam hingga 1 pagi tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur dan Pejabat SPRM Sabah.



Berikutan itu, katanya, SPRM turut menyita hampir 200 akaun bank milik individu dan syarikat berjumlah lebih RM28 juta.

“Perintah reman selama tujuh hari terhadap lima suspek lelaki berkenaan dikeluarkan Majistret Lili Marisqa Khalizan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

“Selain itu, tiga lagi suspek direman selama enam hari membabitkan dua wanita dan seorang lelaki selepas perintah dikeluarkan Majistret Wan Farrah Afriza Wan Ghazali di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.



Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button