Bekas banduan ditahan, polis rampas 54 ketulan ganja bernilai RM173,600

Oleh – Syeikh Baran


Bekas banduan ditahan, polis rampas 54 ketulan ganja bernilai RM173,600
NOOR HISAM (tengah) menunjukkan ketulan mampat dedaun kering yang dirampas dari seorang lelaki dalam satu serbuan dalam sidang akhbar IPK Pahang hari ini.

Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja di negeri ini selepas menahan seorang bekas banduan dalam satu serbuan di Lorong Seri Mahkota Permai di sini kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu polis turut merampas 54 ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 56,223.6 gram dianggarkan bernilai RM173,600.



“Dalam serbuan tersebut Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berjaya menahan seorang lelaki berumur 39 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan Kuantan, Pahang.

“Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal suspek yang bekerja sendiri pernah dipenjarakan di luar negeri Pahang atas kesalahan dadah.



Katanya ujian saringan awal polis terhadap suspek yang mempunyai 13 rekod kesalahan lampau mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Dengan tangkapan ini, polis Pahang telah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja di negeri Pahang.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 56,223 orang penagih dadah dengan analisa penggunaan 1.0 gram bagi dadah jenis ganja,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button