Saham Renong: Halim rayu keputusan mahkamah batal saman terhadap Dr. Mahathir

Oleh – Syeikh Baran


Saham Renong: Halim rayu keputusan mahkamah batal saman terhadap Dr. Mahathir
Halim dan Mahathir.

Tokoh korporat Tan Sri Halim Saad telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan samannya terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dua yang lain berhubung dakwaan kerugian saham miliknya dalam Renong Bhd.

Halim selaku perayu memfailkan notis rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 11 Jun lalu melalui firma guaman Surendra Ananth dengan menamakan Dr. Mahathir dan dua lagi selaku responden.



Mahkamah Rayuan kemudian menetapkan pengurusan kes rayuan berkenaan pada 9 September ini melalui prosiding yang akan dijalankan secara e-Review.

Pada 14 Mei lalu, Dr. Mahathir bersama dua yang lain berjaya dalam permohonan mereka membatalkan saman yang difailkan Halim berhubung dakwaan tokoh korporat itu mengalami kerugian selepas diarahkan kerajaan menjual saham miliknya dalam Renong Bhd. kira-kira 23 tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Suzana Muhamad Said membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ketiga-tiga pemohon membatalkan saman itu selain mendapati satu lagi kes saman difailkan Halim sebelum ini terhadap Khazanah Nasional Berhad, Nor Mohamed dan kerajaan pada tahun 2013, membabitkan isu sama, sudah diputuskan mahkamah.

Kata Suzana, oleh itu apa sahaja isu yang ada, prinsip res judicata (prinsip bahawa kausa tindakan tidak boleh dikemukakan semula antara pihak sama apabila ia sudah dinilai berdasarkan merit) dan alasan tempoh had masa adalah terpakai.



Sebelum ini, ketiga-tiga pihak itu selaku defendan memohon perintah supaya writ dan pernyataan tuntutan Halim sebagai plaintif dibatalkan dengan kos mengikut Aturan 18 Kaedah 19(1)(b) dan (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Alasan yang diberikan ialah tuntutan saman terbabit adalah remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Saman itu difailkan Halim yang juga bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong terhadap Dr Mahathir; bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan pada 2 Ogos lalu.

Menurut pernyataan tuntutannya, Halim selaku plaintif mendakwa, beliau diarah oleh Dr. Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan pemerolehan 32.69 peratus saham Renong daripada United Engineers Malaysia Bhd (UEM).



Sebaliknya dakwa Halim, beliau dikehendaki menyokong inisiatif kerajaan melalui Khazanah Nasional Bhd. untuk mengambil alih UEM secara tawaran am.

Menurut pernyataan itu, UEM merupakan syarikat berprestij dengan beberapa aset bernilai tinggi seperti Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), ELITE Expressway, Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Intria Bina Sdn Bhd, Ho Hup Construction Sdn. Bhd. Pharmaniaga Berhad dan Kualiti Alam Sdn Bhd, yang kesemuanya secara bersama menjana aliran tunai menghampiri RM1 billion setahun.

Menurut ahli perniagaan terkemuka itu, tindakan bersama kedua-dua defendan menyebabkan beliau hilang kawalan terhadap Renong serta kawalan secara tidak langsung dalam UEM.

Halim turut menyatakan, hak beliau sebagai pemegang saham dilucutkan ekoran pengambilalihan UEM oleh Khazanah menyebabkan saham Renong miliknya mengalami penurunan nilai.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button