Budak 5 tahun maut dilanggar van sekolah

Oleh – Syeikh Baran


Budak 5 tahun maut dilanggar van sekolah
Gambar Hiasan

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia setelah dilanggar sebuah van sekolah selepas dia turun dari kenderaan tersebut di Jalan Suria, Bandar Seri Alam dekat sini dalam kejadian pukul 11.35 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu van sekolah seorang perempuan warga tempatan berumur 50 tahun menurunkan mangsa bersama abangnya yang berusia enam tahun di hadapan rumah.



“Pemandu wanita itu mahu meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa melepasi kenderaan itu melalui belakang van sekolah dan beranggapan mangsa turut mengikuti abangnya. Semasa bergerak ke hadapan, pemandu van sekolah itu terlanggar mangsa yang melalui hadapan van sekolah tanpa disedari,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd. Sohaimi berkata, akibat kemalangan tersebut mangsa cedera parah dan pemandu terlibat kemudian turun dari kenderaan berkenaan sebelum segera memaklumkan kejadian kepada ibu mangsa.

“Ibu mangsa membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Masai untuk menerima rawatan. Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan. Polis membuat tangkapan terhadap pemandu van sekolah itu bagi siasatan lanjut dibawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button