Fitnah: Chef Wan diperintah bayar RM150,000 kepada bekas menantu

Oleh – Syeikh Baran


Fitnah: Chef Wan diperintah bayar RM150,000 kepada bekas menantu
Chef Wan

Chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan diperintah oleh Mahkamah Rayuan di sini semalam membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas menantunya, Gavin Edward O’Luanaigh, berhubung penerbitan berunsur fitnah di platform media sosial.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Wong Kian Kheong selepas membenarkan rayuan Gavin untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.



Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini telah memutuskan bahawa kenyataan yang didakwa dibuat oleh Chef Wan tidak memfitnah.

Dalam penghakiman ketika menyampaikan keputusan itu, Hakim Kian Kheong berkata, mahkamah mendapati bahawa hantaran dalam laman sosial Instagram dan Facebook oleh Chef Wan telah memfitnah Gavin.

Beliau juga berkata, Chef Wan juga telah melanggar janji kepada mahkamah untuk tidak menyiarkan kenyataan fitnah terhadap Gavin.

Sementara itu, Hakim Azizah memerintahkan Chef Wan membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan kepada Gavin dan kos RM40,000 untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.



Pada masa sama, beliau juga memberikan injunksi berkekalan yang melarang Chef Wan daripada menerbitkan kenyataan fitnah bekas menantunya selain Chef Wan perlu membayar faedah lima peratus setahun atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh saman difailkan sehingga tarikh penyelesaian penuh.

Gavin memfailkan saman itu pada Februari 2021 dengan mendakwa bahawa lapan hantaran media sosial oleh bekas bapa mentuanya mengenai dia dan isterinya sekarang memfitnah mereka.

Dalam pernyataan pembelaannya, Chef Wan berkata, kenyataan yang disiarkan dalam hantaran itu adalah berdasarkan fakta, komen yang adil, dilindungi oleh keistimewaan mutlak dan layak serta dibuat tanpa niat jahat.

Pada 11 Mei 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam sebahagiannya membenarkan tuntutan Gavin untuk injunksi bagi menghalang bekas bapa mentuanya daripada menerbitkan sebarang dakwaan libel dan palsu terhadapnya.



Hakim Rozi Bainon turut memerintahkan Chef Wan menurunkan kelapan-lapan hantaran berkenaan yang menjadi subjek dalam tuntutan saman fitnah tersebut.

Hakim bagaimanapun, berpendapat bahawa kenyataan yang disangkal itu tidak memfitnah Gavin dan tidak diterbitkan dengan niat jahat.

Gavin merupakan seorang warganegara British memeluk Islam pada 20 November 2006 dan menggunakan nama Salahudin Ghafffar.

Beliau berkahwin dengan anak Chef Wan, pelakon Serina Redzuawan pada 2010 sebelum bercerai pada Ogos 2017.



Sementara itu, Datuk M. Reza Hassan yang mewakili Chef Wan ketika dihubungi hari ini berkata beliau akan menunggu arahan lanjut sama ada untuk membuat rayuan atau tidak berhubung keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Gavin diwakili peguam Nur Khidmah Huzaisham dan Nur Dalilah Zainol Abidin.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button