Suri rumah didakwa bunuh anak angkat

Oleh – Syeikh Baran


Suri rumah didakwa bunuh anak angkat
Gambar Hiasan

Seorang suri rumah yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh anak angkat berusia lima tahun minggu lalu, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh di sini.

Tertuduh, Wan Fatimah Zahra Wan Abdullah, 27, didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Iman Adelia Yusullah, 5, di sebuah rumah di Taman Kledang Raya 23, Taman Malcop di sini antara 5 hingga 10 Jun 2024.



Tertuduh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha. Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam itu selain memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan kimia.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.



Pada 10 Jun lalu, tertuduh bersama suami berusia 66 tahun ditangkap di kediaman mereka di Taman Malcop, Silibin di sini berikutan kematian anak angkat yang ditemukan dengan kesan lebam di badan.

Selain lebam di seluruh badan disyaki dipukul objek tumpul, pemeriksaan juga mendapati terdapat luka koyak dan lebam pada peranakan luar dan dubur mangsa.

Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan akibat objek tumpul.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button