Pasangan kekasih dicekup, tak sempat edar 31 kg ganja dalam kereta

Oleh – Syeikh Baran


Pasangan kekasih dicekup, tak sempat edar 31 kg ganja dalam kereta
Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan sebahagian pil kuda yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini.

Sepasang kekasih merupakan antara tiga suspek dicekup dalam dua serbuan berasingan di Pasir Mas dan Rantau Panjang dekat sini pada Khamis lalu selepas terlibat dalam kegiatan mengedar dadah jenis ganja seberat lebih 31 kilogram (kg) dan 18,000 biji pil kuda bernilai RM363,000.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun dan kekasihnya berusia 23 tahun yang merupakan warganegara Thailand di Kampung Gaung Lati, Pasir Mas.



Menurutnya, serbuan dijalankan kira-kira pukul 2.30 petang semasa kedua-dua suspek berada di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva.

“Siasatan mendapati, dadah yang bernilai RM93,000 boleh dibekalkan kepada seramai 31,739 orang penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek kemudiannya membawa kepada penahanan seorang lelaki warganegara Thailand yang berusia 26 tahun di tepi jalan berhadapan sebuah pangkalan haram di Rantau Panjang pada hari yang sama.

Menurutnya, suspek ditahan kira-kira pukul 9.45 malam sebelum polis menjumpai sebanyak 18,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM270,000 bersama lelaki itu.



“Ketiga-tiga suspek di dalam dua kes itu mempunyai kaitan antara satu sama lain. Mereka dipercayai terlibat dalam satu sindiket pengedaran yang sama.

“Siasatan sedang dijalankan untuk memperoleh maklumat lanjut mengenai individu lain yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah bersama suspek terlibat,” ujarnya.

Muhamad Zaki berkata, ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button