Pemilik syarikat didakwa 116 pertuduhan gagal kemuka dokumen pembelian diesel

Oleh – Syeikh Baran


Pemilik syarikat didakwa 116 pertuduhan gagal kemuka dokumen pembelian diesel
Mohd. Fared (kiri) diiringi pegawai penguat kuasa KPDN untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. Foto oleh ROSMIZAN RESDI/KOSMO!

Seorang pemilik syarikat pembekalan diesel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 116 pertuduhan gagal mengemukakan dokumen dan maklumat diperlukan berhubung pembelian diesel, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Fared Ramli, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan kira-kira 20 minit di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.



Mengikut pertuduhan pertama sehingga 58, tertuduh selaku pemilik perniagaan sebuah syarikat iaitu pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel didakwa gagal mengemukakan maklumat berkaitan dokumen pembelian api itu untuk tujuan eksport yang dikehendaki Penolong Pengawal Bekalan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Sultan Omar, Kampung Chepa di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 18 Disember 2022.

Bagi pertuduhan ke-59 hingga 116, Mohd. Fared didakwa gagal menyelenggara buku stok diesel yang tidak mengandungi maklumat tarikh,kuantiti, harga, nama dan alamat penjual atau pembeli bagi penjualan barang berjadual iaitu diesel untuk tujuan eksport di lokasi dan tarikh yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd. Sophian Zakaria dan Suhana Mohd. manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Sukri Mohamed.



Terdahulu, Mohd. Sophian memohon jaminan sebanyak RM100,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat KPDN Kota Bharu setiap bulan.

“Kes ini melibatkan 116 pertuduhan dan membabitkan diesel yang menjadi kepentingan awam. Nilai keseluruhan invois sebanyak lebih 2.64 juta liter diesel dengan nilai lebih RM10 juta,” katanya.

Sukri dalam rayuannya tidak membantah syarat yang dikenakan, namun memohon agar anak guamnya dapat melapor diri KPDN di Putrajaya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.



Mahkamah menetapkan 23 Julai depan untuk pengurusan kes.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button