Pura-pura ‘sadai’ motor, rupanya penyamun di Sedenak

Oleh – Syeikh Baran


Pura-pura ‘sadai’ motor, rupanya penyamun di Sedenak
Perkongsian Uddin mengenai pengalamannya yang hampir kena samun baru-baru ini.

Seorang pemuda berdepan detik cemas apabila secara tiba-tiba dia didatangi seorang individu bersenjata batang besi dari arah belakang sewaktu ingin membantu seorang lelaki lain yang kononnya motosikalnya mengalami kerosakkan.

Berkongsi pengalaman tersebut, pengguna TikTok, Uddin Halim berkata, sewaktu dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke Batu Pahat, dia terserempak dengan seorang lelaki yang tersadai di tepi lebuh raya bersama motosikalnya.



Katanya, lokasi tersebut di Lebuh Raya Utara – Selatan melibatkan laluan Sedenak dan keadaan sekeliling sangat gelap disebabkan tiada lampu jalan serta waktu ketika itu sudah hampir pukul 3 pagi.

“Masa aku nampak dia, ikutkan aku dah terlajak tetapi disebabkan aku fikir tempat itu gelap dan aku nampak dia seorang dekat situ aku patah balik dengan niat nak bantu dia.

“Aku fikir masa itu apa yang aku boleh bantu adalah aku hanya boleh tunda motor dia ke R&R (kawasan rehat dan rawat) berdekatan.

“Bila aku sampai, aku tanya motor dia kenapa dan dia kata motor dia tiba-tiba mati dan katanya nak balik ke Yong Peng. Aku pun kata aku akan tolong tolak sampai R&R,” katanya.



Bercerita lanjut, kata Uddin sewaktu hendak menunda motosikal lelaki terbabit, dia sempat menoleh ke arah belakang dan dengan terkejutnya muncul seorang individu dari semak menuju ke arahnya sambil memegang besi.

“Bila aku toleh ke depan semula, lelaki dekat motor itu puj bawa keluar besi. Aku dah tak fikir apa masa itu terus tendang motor dia dan apa yang aku perasan dia jatuh kena hempap dengan motor.

“Aku terus selamatkan diri. Alhamdulillah tak ada apa-apa yang berlaku,” jelasnya.

Menerusi video terbaharu yang dimuat naik Uddin hari ini, dia memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan katanya itu adalah pengalaman kali pertama berdepan dengan jenayah samun.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button