Bekas pegawai kanan Pos ambil rasuah RM133,000

Oleh – Syeikh Baran


Bekas pegawai kanan Pos ambil rasuah RM133,000

Seorang bekas Ketua Perancang Bahagian Pengurusan Pengangkutan Pos Malaysia Berhad didenda RM170,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM133,000, empat tahun lalu.



Hakim Elesabet Paya Wan menetapkan hukuman itu terhadap tertuduh, Hazri Mokhtar, 45, yang membuat pengakuan tersebut sejurus 17 pertuduhan pilihan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didapati gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penerimaan secara rasuah wang berjumlah RM133,000.

Suapan berkenaan sebagai upah untuk membantu mempercepat bayaran oleh Pos Malaysia Berhad kepada Syarikat OnxOn Logistik Sdn Bhd bagi kerja-kerja outsourcing Linehaul dan Shuttle Services di Sabah dan Sarawak.

Perbuatan itu dilakukan dalam 17 transaksi berasingan di Bank Simpanan Nasional Melaka Main, Lot No. 779, Jalan Munshi Abdullah dan Maybank Melaka Main No. 114 & 114A, Graha Peladang, Jalan Hang Tuah antara antara 8 Julai 2020 hingga 11 Oktober 2021.



Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Mohammad Amir Aizat Abd. Rani merayu hukuman ringan diberikan memandangkan tertuduh kini hanya berniaga kecil-kecilan dan menyara tiga anak yang berusia antara lapan hingga 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin bagaimanapun memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Hakim Elesabet Paya Wan kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan pilihan berkenaan atau 51 bulan penjara jika gagal melunaskan denda berkenaan.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button