Fasha Sandha

“Anak sulung dia (Nora) dan anak-anak saya mempunyai bapa yang sama dan mereka sangat rapat. Saya rasa tak elok untuk kami ‘bermusuhan’ dan naik turun mahkamah akibat persengketaan sesama sendiri.

“Apabila melibatkan proses mahkamah tentu sahaja akan memakan masa yang panjang sedangkan mereka sedang membesar. Jadi perdamaian adalah jalan terbaik untuk kami.

“Itu yang membuatkan masing-masing bersetuju untuk menyelesaikan kes ini segera,” kata Fasha.

Perselisihan faham antara mereka bukan lagu perkara baharu namun semuanya memuncak apabila Fasha mendakwa dihalang oleh penganjur ketika menghadiri pertunjukan fesyen Aidilfitri pada 12 Mei tahun lalu kononnya atas arahan Nora.

Akibat perkara tersebut, Nora telah membawa kes tersebut ke mahkamah sehinggalah mereka dipanggil untuk sesi mediasi bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan kes tersebut tanpa perlu menghadiri proses perbicaraan.

Rentetan daripada proses tersebut, Fasha akhirnya bersetuju untuk memohon maaf kepada Nora atas perkara yang berlaku pada majlis pertunjukan fesyen tersebut namun memilih untuk tidak mengulas panjang intipati proses mediasi tersebut.

“Maaf saya tidak mahu memberi komen panjang mengenai isu itu sebaliknya yang boleh saya katakan di sini, insya-Allah jika tiada aral melintang bersempena bulan yang mulia ini, saya akan memohon maaf kepada Nora Danish atas isu yang terjadi pada majlis pertunjukan fesyen tahun lalu yang didakwa mengguris perasaannya.

“Ini adalah demi kebaikan anak-anak dan keluarga. Isu antara kami berlarutan terlalu lama. Justeru jalan terbaik adalah berdamai dan hidup dalam harmoni. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat kedua-dua belah pihak kerana tidak jemu-jemu mendoakan agar kami berdamai,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan.

Fasha mahupun Nora sebelum ini pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli. Melalui perkahwinan dengan Nora pasangan itu dikurniakan Putera Rayqal, 10, manakala Fasha pula dikurniakan Putera Rayfal, 4, dan Putri Raysha Jemyma, 3. – UTUSAN ONLINE