Hukuman tersebut telah menghalang pasukan Guatemala daripada menyertai sebarang pertandingan peringkat antarabangsa seperti Piala Emas, Sukan Amerika Tengah dan Liga Juara-Juara CONCACAF.

“FIFA hari ini telah menarik kembali hukuman penggantungan yang dikenakan ke atas Persekutuan Bola Sepak Guatemala (Fedefut),” kata Fedefut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Badan induk bola sepak itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas menerima surat daripada Juan Carlos Rios yang mengetuai Jawatankuasa Normalisasi yang dilantik FIFA bagi mengawasi Fedefut.

“Penggantungan itu telah ditarik kembali dengan kadar segera dan hak selaku anggota FIFA juga dikembalikan semula kepada Fedefut. Ini merupakan hari yang gembira buat kami,” kata Rios dalam sidang akhbar.

FIFA menjatuhi hukuman ke atas Guatemala pada Oktober 2016 setelah mereka gagal memberi kuasa kepada Jawatankuasa Normalisasi ekoran skandal rasuah antarabangsa yang menggegar sukan bola sepak dunia.

Bekas Setiausana Agung Fedefut, Hector Trujillo yang merupakan individu pertama berjaya disingkirkan telah dihukum penjara selama lapan bulan oleh hakim di New York pada Oktober lalu kerana terlibat di dalam kes penipuan. – AFP