Tinjauan Utusan Online di beberapa pusat membeli-belah terkemuka dan pasar basah mendapati rata-rata peniaga mengikut saranan kerajaan untuk menghapuskan enam peratus daripada harga barang selepas penghapusan cukai berkenaan.

Malah tinjauan terhadap 10 barangan di sebuah pasar raya sekitar Cheras mendapati, tanda harga barangan telah ditukar berbanding semalam dan memaparkan harga baharu yang lebih rendah, setelah menolak caj GST enam peratus yang sebelum ini dikenakan ke atas barangan tersebut.

Pengguna yang ditemui juga turut meluahkan rasa lega dan berpuas hati dengan harga barang ketika ini dalam usaha kerajaan untuk menghapuskan cukai itu selepas peralihan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menurut surirumah, Intan Ismail, 37, berlaku beberapa penurunan dalam harga barang keperluan antaranya minyak, kopi, susu dan ikan antara 20 Sen hingga RM1.

Bagaimanapun katanya, orang ramai termasuk dirinya sendiri perlu melihat harga barang barangan pada September nanti selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperkenalkan semula.

“Impak penghapusan GST mungkin mengambil masa sedikit. Tetapi saya akan terkejut sekiranya tindakan itu tidak menurunkan harga beberapa barangan.

“Setakat ini harga masih murah selepas penghapusan GST namun kita tidak tahu pula harga barangan selepas SST ini diperkenalkan nanti. Harap-harap harga tidaklah sama seperti GST ini,” ujarnya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Sementara itu, peniaga, Datuk M. Shanmugam, 58, dia bersyukur kerana penghapusan GST akan meningkatkan pembelian pengguna yang rata-rata meluahkan rasa terbeban selepas pelaksanaan cukai itu sejak 2015.

“Dulu orang selalu mengadu harga barang semua naik dan telah mengurangkan kadar pembelian pengguna hingga menyebabkan sentiasa berjimat. Saya harap selepas ini mereka tidaklah terlalu bimbang dengan harga barangan memandangkan ia sudah dihapuskan,” ujarnya.

Pekerja swasta, Kamal Salleh, 50, berkata, terdapat beberapa kedai yang telah menjual pakaian dan barangan keperluan pada harga sifar GST sejak beberapa hari lalu bagi menarik lebih ramai pelanggan.

“Saya tidak terkejut kalau kedai-kedai ini sudah meletakkan harga baharu tanpa GST beberapa hari lepas, kemungkinan untuk menarik pelanggan untuk datang ke kedai mereka,” ujarnya- UTUSAN ONLINE