Malah sidang akhbar yang diadakan Barisan Nasional (BN) negeri di salah sebuah hotel di sini hari ini, yang ditunggu-tunggu ramai pihak kerana dijangka mampu menjawab pelbagai persoalan mengenai isu tersebut, nampaknya seperti tidak memberi sebarang makna.

Setiausaha BN negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mengetuai sidang akhbar tersebut bersama sekumpulan tujuh wakil rakyat BN yang lain gagal memberi jawapan yang menyakinkan bagi setiap persoalan berhubung kemelut tersebut.

Antaranya ketika ditanya apakah ertinya menjunjung titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail tetapi pada masa sama menyanggah pelantikan Datuk Seri Azlan Man selaku Menteri Besar yang diperkenankan baginda sebelum ini.

Zahidi sebaliknya menyatakan bahawa kesemua mereka sebulat suara tetap dengan pendirian menolak Azlan yang tidak mendapat sokongan majoriti wakil-wakil rakyat parti itu selain Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu kalah ketika mengetuai Parlimen Kangar.

Parlimen Kangar buat pertama kalinya dalam sejarah negeri itu jatuh ke tangan PKR.

Pada masa sama, Zahidi juga gagal menjawab mengenai apakah tindakan susulan sekiranya Tuanku Syed Sirajuddin kekal dengan keputusan baginda yang mahukan Azlan menerajui negeri ini.

Beliau hanya memaklumkan bahawa mereka yakin bahawa baginda akan mendengar penerangan mereka.

Sama ada sedar atau tidak, sehingga kini, Tuanku Syed Sirajuddin masih belum menetapkan sebarang tarikh dan perkenan untuk menerima menghadap kesemua wakil rakyat tersebut yang mereka harap pertemuan itu dapat dilakukan pada minggu depan.

Malah Zahidi juga seolah-olah yakin bahawa pilihan raya negeri tidak akan diadakan sedangkan semua sedia maklum bahawa kemelut tersebut berkemungkinan tiada menemukan jalan penyelesaian.

Dalam masa sama, sikap BN negeri yang bercadang untuk menghantar nama 11 wakil rakyat lain termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim kepada Tuanku Syed Sirajuddin untuk dipertimbangkan mengantikan Azlan sebagai Menteri Besar dilihat oleh ramai pihak sebagai perbuatan kurang sopan.

Tidakkah itu satu tindakan yang dilihat seolah-olah ‘menyindir’ baginda yang telah pun membuat keputusan dalam soal itu.

Apa jua alasan, kemelut tersebut perlu segera diselesaikan. Rakyat rata-ratanya sudah bosan dengan ‘drama’ yang masih tiada hujung pangkalnya ini.

Bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini sudah hampir penghujungnya. Diharap sebelum tibanya Aidilfitri, masalah ini dapat diselesaikan dengan baik bagi membolehkan semua pihak khususnya rakyat di negeri ini meraikan hari raya dengan sempurna. – UTUSAN ONLINE