Alisson Dalam Radar Liverpool

LIVERPOOL telah digesa oleh Alejandro Moreno untuk cuba mengikat kontrak dengan Alisson (gambar) dari AS Roma secepat mungkin.

The Reds dipercayai berusaha mencari penjaga gol baharu musim panas ini selepas apa yang dilakukan oleh Loris Karius pada final Liga Juara-Juara, hujung minggu lalu.

Bintang AS Roma, Alisson telah lama menjadi sasaran untuk pasukan Jurgen Klopp memandangkan pengurus kelahiran Jerman itu mahu meningkatkan prestasi skuadnya pada musim panas ini.

Karius membuat dua kesilapan besar sehingga menyebabkan Liverpool tewas 3-1 kepada Real Madrid pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Kiev, Sabtu lepas.

Bagaimanapun, bekas pemain antarabangsa Venezuela, Moreno merasakan bahawa Liverpool harus mencuba untuk membuat keputusan awal jika mereka mahu menandatangani Alisson pada musim panas ini kerana harganya boleh meningkat semasa dan selepas Piala Dunia.

Bercakap dalam temu bual dengan ESPN FC, Moreno berkata: “Jika Alisson adalah pemain yang anda mahukan, lebih baik meneruskannya dengan cepat.

“Jika dia menunjukkan prestasi cemerlang dalam Piala Dunia untuk Brazil, maka mungkin pasukan lain akan memburunya dan menaikkan harga.”

Liverpool mengakhiri musim lalu tanpa trofi selepas dikalahkan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara. – The Sport Review

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.