Enggan Tunai Janji, PH Besarkan Isu Hutang?

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mendakwa tujuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan negara mengalami beban hutang yang besar dan meruncing kerana mahu “menyusun semula janji”.

Beliau berkata naratif hutang itu tidak menggambarkan keadaan yang menyeluruh dari segi hutang sebenar dan kemampuan kerajaan untuk membayarnya.

“Jadi mereka menggunakan itu untuk menangguhkan beberapa janji-janji yang mereka tahu tak dapat dibuat,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau mengulas pengumuman kerajaan mengenai penubuhan dana khas yang dikenali sebagai Tabung Harapan Malaysia untuk membolehkan rakyat membuat sumbangan bagi menyelesaikan hutang negara.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata nilai hutang negara kini sudah mencecah RM1 trilion dan memerlukan langkah pemulihan dan penyelesaian yang menyeluruh.

“Gambaran yang menyeluruh perlu mengambil kira kemampuan untuk membayar hutang tersebut, yang tak disebut oleh kerajaan,” kata Khairy.

“Walaupun hutang rasmi lebih RM600 bilion dengan tanggungan liabiliti lain sampai RM1 trilion tapi dari segi perhidmatan itu, BN rasa kerajaan mampu membayar hutang tersebut,” katanya.

Khairy dalam masa yang sama berkata tidak salah mewujudkan tabung bagi menunjukkan solidariti dan memberi peluang kepada rakyat untuk menyumbang.

“Tapi jangan sampai kita menggunakan tabung itu sebagai alasan kerana kononnya beban hutang ini tak dapat dikawal

“Bagi saya beban hutang ini walau nampak besar tapi memang dapat dikawal, sebelum ini pun kita ada perancangan untuk pengurusan hutang tersebut,” katanya.

– fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.