Mahathir Cuba Catur UMNO?

MAHATHIR bagaikan terlupa bahawa beliau bukan lagi UMNO tetapi merupakan musuh parti tersebut. Lelaki berusia 93 tahun itu mendakwa Khairy Jamaluddin adalah calon terbaik untuk memimpin Umno sekarang kononnya ketika parti orang Melayu itu mencari kekuatan baru selepas terpukul dalam pilihan raya umum yang lalu.

Secara logiknya sebagai musuh UMNO, sudah tentu sebarang cadangan dari beliau hanya semata-mata untuk merosakkan UMNO dengan lebih teruk lagi.

“Saya rasa Khairy calon terbaik… (jawatan) Presiden UMNO ialah Khairy Jamaluddin,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pakatan Harapan Kedah di Alor Setar.

Pengerusi Pakatan Harapan itu membuat kenyataan tersebut ketika diminta mengulas apakah Umno perlu masa untuk pulih semula selepas kalah PRU14.

Khairy minggu lalu mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden Umno, dan bukan jawatan lebih tinggi presiden atau timbalannya .

Umno akan mengadakan pemilihan parti hujung bulan ini, yang pertama sejak 2013 dan yang pertama mempertandingkan semua jawatan dalam parti sejak 1987.

Pemangku presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi setakat satu-satunya calon yang mengesahkan bertanding jawatan presiden. Ada juga ura-ura mahu memajukan Tengku Razaleigh Hamzah dan Mustapa Mohamed bertanding jawatan tertinggi itu.

Hishammuddin Hussein yang kini memangku jawatan timbalan presiden belum lagi membuat keputusan dan ada laporan beliau mungkin tidak akan bertanding apa-apa jawatan, termasuk tidak mempertahankan jawatan naib presiden yang disandangnya sekarang.

Selain Khairy, sekurang-kurangnya lima pemimpin sudah mengumumkan mengintai tiga kerusi naib presiden.

Mereka ialah Ahli Majlis Tertinggi, Abdul Johari Ghani yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua; bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan; pengerusi Umno Perlis, Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman dan bekas Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid.

Pemilihan Umno kali ini dijangka hangat kerana barisan kepimpinan yang terpilih nanti menggalas tanggungjawab memulihkan parti dan Barisan Nasional yang ditunjanginya, selepas rakyat menolak mereka dalam PRU14.

Pemilihan peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi akan berlangsung pada 30 Jun ini, seminggu selepas pemilihan peringkat sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Pencalonan bagi pemilihan Umno dibuka sehingga 17 Jun ini.

  • mypru.info

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.