Kerusi Mana Yang Anwar Ibrahim Akan Bertanding?

Pada 5 Jun lepas, Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sudah menyatakan pada umum hasratnya untuk bertanding dalam satu Pilihan Raya Kecil (PRK) dan kembali menjadi Ahli Parlimen dalam masa beberapa bulan akan datang.

PRK itu dikhabarkan akan diadakan selepas Anwar mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dunia. Menurut beliau, tujuannya untuk kembali menjadi ahli Dewan Rakyat bukan untuk mengganggu tugas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.

Anwar berkata, Mahathir boleh menjalankan tugas mentadbir negara dengan selesa dan baik.

“Saya terfikir juga, keterlaluan bagi sesetengah pihak hanya takut saya hendak bagi kejutan atau mengganggu Perdana Menteri. Biar Dr. Mahathir cakap dengan sayalah. Setakat ini kami berdua berbincang dengan baik.

“Semalam, dia (Dr. Mahathir) bagi akses yang sangat baik. Bila saya hendak telefon, terus dalam beberapa minit, dapat panggilan kembali. Itu adalah dia merupakan seorang Perdana Menteri yang sibuk. Saya kena ambil perkiraan itu juga dan Dr. Mahathir tahu saya pergi mana-mana jumpa raja atau jumpa rakyat, saya sudah bagi tahu Dr. Mahathir.

“Kini, saya hendak bagi laluan untuk dia mentadbir tanpa gangguan dan merasa selesa menjalankan tugas dengan baik,” katanya seperti dipetik dalam temubual bersama portal The Malaysian Insight.

Para pemerhati politik tanah air kini tertunggu-tunggu apakah yang akan berlaku menjelang PRK itu nanti dalam kem Mahathir dan kem Anwar dalam memastikan Anwar menang pada PRK berkenaan.

Pertama sekali, siapa yang akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen akan menjadi persoalan. Anwar sudah menyatakan bahawa beliau tidak akan bertanding di kawasan Parlimen isterinya, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail iaitu di kawasan Pandan.

Jika Wan Azizah lepaskan jawatan Ahli Parlimen suasananya pasti menarik kerana tiada Timbalan Perdana Menteri, adakah Anwar menang beliau akan jadi Timbalan kepada Mahathir. Pada masa itu, pemimpin parti yang ada majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat akan jadi Timbalan kepada Perdana Menteri yang ada kerusi paling sedikit dalam Parlimen.

Adakah anak Anwar, Nurul Izzah akan melepaskan kerusi tradisi Anwar di Permatang Pauh. Ia agak aneh kerana Nurul Izzah masih muda dan mempunyai potensi besar untuk dilantik sebagai Menteri dalam Kabinet baru jika Anwar berjaya jadi Perdana Menteri. Siapa yang akan letak jawatan adalah persoalan yang amat penting.

Ada juga pihak yang menyatakan bahawa mungkin Mahathir yang akan melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Langkawi memandangkan beliau yang akan melepaskan jawatan dan memberikannya kepada Anwar.

Parti yang akan bertanding juga akan menjadi menarik. Jika Mahathir diketahui mungkin enggan menyerahkan jawatan kepada Anwar, adakah PPBM akan turut bertanding dalam PRK itu nanti. Jika itu berlaku, sudah pasti jelas hasrat Mahathir untuk halang Anwar dan jika PPBM menang, mereka akan dapat tambahan kerusi.

Kemunculan parti PAS yang mungkin akan bertanding sudah tentu menggugat Anwar untuk menang. Ekoran konflik PKR dan PAS di Selangor kerana PKR memihak kepada DAP. PKR merupakan parti yang turut menyumbang kepada tersingkirnya PAS dari Pakatan Rakyat dulu.

Kalau dilihat secara teliti bukan mudah laluan Anwar untuk jadi Perdana Menteri dengan Mahathir sebagai Perdana Menteri. Episod untuk berlangsungnya PRK untuk Anwar bertanding akan menjadi menarik perhatian semua rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.