RM218,060 Lesap Selepas Panik Terima Tunggakan Kad Kredit

KUANTAN: Akibat bimbang ditahan kerana mempunyai tunggakan kad kredit, seorang juruteknik di daerah ini sanggup menyerahkan nombor pin dan nombor kad pengeluaran wang automatik (ATM) akuan banknya kepada sindiket Macau Scam sehingga mengakibatkan kerugian RM218,060.

Dalam kejadian pada 30 Mei lalu, mangsa berusia 39 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang suspek mengaku wakil Mahkamah Kuala Lumpur dan menyatakan dia mempunyai tunggakan kad kredit Maybank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa menafikan perkara itu sebelum disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan seorang lagi suspek menyatakan waran tangkap sudah dikeluarkan kepada mangsa.

“Mangsa kemudian diarahkan mendedahkan nombor akaun berserta nombor pin kepada suspek bagi menjalankan siasatan. Mangsa juga diminta memasukkan wang ke dalam akaunnya itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian memasukkan duit dalam akaun Bank Rakyat miliknya sehingga berjumlah RM218,060.

Bagaimanapun, selepas memasukkan duit, mangsa mendapati duit dalam akaun itu sudah dipindahkan ke beberapa akaun lain.

“Pindahan wang berkenaan dibuat secara dalam talian ke dalam beberapa akaun sebanyak 13 transaksi secara berperingkat bermula 31 Mei lalu sehingga kelmarin,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang peniaga berusia 66 tahun kerugian RM167,702 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai bank dan polis serta mendakwa dia terbabit dengan pengubahan wang haram.

Mohd Wazir berkata, dalam kejadian pada 1 Mei lalu, mangsa sedang berehat di rumahnya di sini dan menerima panggilan seorang lelaki mengaku pegawai Hong Leong Bank dan menyatakan data peribadi mangsa digunakan untuk membuat pinjaman serta mempunyai tunggakan.

“Selepas itu, mangsa disambungkan ke IPK Ipoh dan seorang lagi suspek memperkenalkan diri sebagai Inspektor Yong menyatakan nama dan nombor kad pengenalannya terbabit dengan pengubahan wang haram.

“Mangsa menafikan perkara berkenaan dan suspek mendakwa mangsa tidak dibenarkan memberitahu sesiapa hal itu.

Mangsa diarahkan membuka akaun Agro Bank dan semua wang miliknya perlu dimasukkan ke dalam akaun itu,” katanya.

Beliau berkata, pada 4 Mei lalu, mangsa membuka akaun bank seperti disuruh suspek dan memindahkan semua wangnya berjumlah RM167,702 ke dalam akuan baharu itu.

“Mangsa kemudian memberikan nombor akaun dan nombor pin kepada suspek dan pada 8 Mei lalu ketika membuat semakan, mangsa mendapati semua wangnya dalam akaun berkenaan sudah tiada,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin, selepas disyaki menjadi mangsa penipuan.

“Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda,” katanya.-beritaharian

-MYPRU.INFO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.