Air “Berdarah” Beri Petunjuk

Air sungai bercampur darah membawa petunjuk kehilangan seorang lelaki yang dipercayai maut selepas terkena kipas sebuah bot pancing di Muara Sungai Tabuan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, Herianto Ramli, 53, dari Singkawang, Indonesia, dikatakan terjun ke sungai untuk membaiki kipas bot yang rosak.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, sebelum itu, kapten bot berkenaan berusia 43 tahun meminta kru bot untuk melakukan pemeriksaan selepas mendapati kipas bot pancing tidak berfungsi.

Menurutnya, seorang daripada kru kemudian terjun ke dalam sungai untuk membaiki kerosakan kipas tanpa menyedari mangsa juga berbuat demikian.

“Selepas beberapa minit dan kerosakan dapat dibaiki, kapten bot kemudian menghidupkan enjin, namun terkejut selepas seorang daripada kru memaklumkan terdapat warna merah seakan darah pada permukaan air.

“Terkejut dengan kejadian itu, kapten bot kemudian mematikan enjin sebelum menyedari seorang daripada kru tiada di atas bot berkenaan,” katanya.

Katanya, susulan kejadian, kapten bot kemudian membuat laporan di Balai Polis Bintawa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan bermula jam 8.30 pagi, semalam.

Menurutnya, Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) digerakkan ke lokasi untuk melakukan selaman di sekitar lokasi kejadian, namun hingga semalam tiada petunjuk diperoleh.

“Usaha mencari akan dipergiat dan lokasi pencarian akan diperluaskan bagi mengesan mangsa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.