Dua Abang Bergilir-gilir Rogol Adik Perempuan

BANYAK kejadian rogol dilakukan oleh orang yang terdekat dengan kita. Dua lelaki ditahan selepas dipercayai merogol adik perempuan mereka berusia 17 tahun dalam kejadian di rumah keluarga tiga beradik itu di Papar, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman berkata, kedua-dua beradik berusia 26 dan 24 tahun itu ditahan di rumah keluarganya pada 2.30 petang sejurus pihak polis menerima laporan kejadian.

Katanya, kejadian berlaku pada 2 pagi ketika mangsa sedang tidur di ruang tamu rumah berkenaan.

“Mangsa mendakwa didatangi dua abangnya dengan seorang bertindak menutup mulut gadis itu, manakala seorang lagi menggunakan gunting untuk memotong seluar dan seluar dalam mangsa.

“Laporan polis dibuat oleh kakak mangsa dan polis terus melakukan tangkapan terhadap kedua-dua suspek serta merampas barang kes termasuk gunting untuk siasatan,” katanya.

Katanya, pihak polis difahamkan kedua-dua suspek sudah melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sejak gadis itu berusia 12 tahun, namun tiada laporan polis dibuat.

“Mengikut maklumat yang diterima oleh pihak polis, mangsa sebelum ini pernah dicabul dan dirogol oleh kedua-dua suspek berkenaan.

“Kedua-dua suspek juga dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian itu berlaku, dan suspek berusia 26 tahun positif dadah jenis syabu selepas saringan ujian air kencing,” katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.