Jangan Amalkan Politik Dendam

KITA tahu Mahathir dan Lim Kit Siang seorang yang pendendam. Itu boleh memusnahkan negara. Kerajaan dinasihatkan untuk tidak mengamalkan politik dendam, sebaliknya perlu meneruskan usaha mentadbir dan berkhidmat demi kelangsungan negara.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, berkata tindakan kerajaan meletakkan tekanan dengan memberi alasan kerajaan terdahulu tidak berintegriti, mempunyai banyak hutang sehingga membebankan rakyat, adalah tidak berhemah.

Menerusi peletakan individu berjawatan besar seperti Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia (TM), Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly dan bakal disusuli penggantian Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia serta semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) cukup meragukan.

“Ia dilihat seolah-olah ada hubung kait dengan tekanan tangan ghaib dalam kerajaan.

“Rakyat melihat semua tindakan kerajaan yang mengaitkan semua mereka yang meletakkan jawatan itu dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, seperti satu usaha pihak kerajaan mahu memasukkan ‘orang-orang tertentu’ ke dalam setiap jabatan dan agensi.

“Ini adalah satu usaha untuk mengaburi mata rakyat, dengan mengaitkan semua ini dengan ‘salah laku’ kerajaan terdahulu. Pihak tertentu pula dilihat menggunakannya sebagai cara pembersihan ke atas BNM, TM, Bursa Malaysia malah syarikat-syarikat lain,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Selain itu, UMNO juga merasakan wujud satu usaha mengenakan tekanan ke atas Institusi Diraja sehingga hampir menimbulkan krisis dengan pelantikan Ketua Peguam Negara, Tommy Thomas.

“Agak pelik juga, baru-baru ini Thomas dengan pantas memperkatakan bahawa 1MDB (1Malaysia Development Berhad) adalah keutamaannya.

“Apakah pelantikan Thomas sebagai tindakan yang berkemungkinan menjadikan institusi kehakiman sebagai ‘pelindung’ kepada dakwaan salah laku beberapa rakan yang rapat dengan kepimpinan Pakatan Harapan (PH), baik di dalam mahupun di luar Kabinet.

“Rakyat juga memerhati dan pasti bertanya dengan serius motif tulisan Datuk A Kadir Jasin mengenai perbelanjaan RM257 juta yang dibelanjakan untuk Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh 16 bulan.

“Apakah ini berniat memalukan Institusi Raja-Raja Melayu serta menghasut perasaan rakyat agar membenci Institusi Raja-Raja Melayu?” katanya.

UMNO berkata, ini tidak seharusnya berlaku kecuali kerajaan ada niat untuk memperlekehkan Institusi Raja-Raja Melayu.

“Kerajaan memerintah sepatutnya bertanggungjawab memelihara nama baik Institusi Raja-Raja, integriti pelbagai institusi kerajaan dan kepentingannya, bukan semakin merosakkan imejnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.