Pemandu Miang, Grabcar Buang

Kemudahan perkhidmatan e-hailing sepatutnya memberikan kemudahan kepada pengguna sebagai alternatif kepada pengangkutan awam sedia ada.

Namun, tular di laman sosial apabila seorang netizen memuat naik mengenai dakwaan terdapat seorang pemandu GrabCar Malaysia yang melakukan serangan seksual terhadap rakannya ketika menggunakan perkhidmatan tersebut.

Jaskirath pada Rabu memuat naik status tersebut menerusi Twitter: “Berhati-hati dengan pemandu @GrabMY ini.

“Dia menyerang kawan kepada kawan saya dan asyik memintanya untuk keluar bersama dan memintanya untuk duduk di kerusi penumpang hadapan.

“Dia cuba menyentuh kaki wanita tersebut yang duduk di tempat duduk belakang dan enggan memberhentikan kereta.

“Mangsa telah membuat laporan kepada pihak polis dan @GrabMy,” catatnya pada posting tersebut.

Posting yang dimuat naik oleh Jaskirath pada Rabu.

Posting berkenaan menerima reaksi menggalakkan daripada pengguna Twitter yang menggesa agar pihak GrabCar mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemandu tersebut.

Pemilik akaun @aazeliaaaa berkata: “Grab diisi dengan pemandu yang miang. Tolong bawa kembali Uber kerana kami jarang berdepan dengan masalah ini seperti yang selalu berlaku terhadap Grab.”

Bagi Lainie Yeoh pula, situasi itu bukan sahaja tidak selesa, tetapi ia adalah isu berkaitan keselamatan penumpang.

“Lelaki ini adalah ancaman kepada golongan wanita dan masih membawa penumpang menggunakan platform GrabCar,” tulisnya yang turut menggesa agar perkhidmatan e-hailing itu memberikan penjelasan mengenai pemandu tersebut yang didakwa masih dibiarkan melakukan kesalahan sama terhadap penumpang lain.

Reaksi balas daripada GrabCar Malaysia berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, GrabCar turut memberikan reaksi kepada posting tersebut dan memberi jaminan bahawa pemandu terbabit telah disingkirkan daripada platform mereka.

“Kami ingin memberikan jaminan bahawa pemandu yang dimaksudkan telah dikeluarkan daripada platform kami.

“Kami amat menyesali perkara yang berlaku. Ucapan maaf kepada rakan anda di atas insiden ini,” katanya sambil menambah akan melakukan yang terbaik dalam memastikan GrabCar menjadi platform e-hailing yang selamat kepada semua pengguna.

Sebelum ini, GrabCar Malaysia pada Jun 2017 dengan serta merta mengeluarkan daripada perkhidmatannya pemandu yang didakwa telah mencabul seorang penumpang sementara menunggu polis selesai menjalankan siasatan.

Ketua GrabCar Malaysia, Sean Goh dalam satu kenyataan berkata insiden itu amat membimbangkan dan keutamaan syarikat sekarang ialah membantu dan memberi sokongan kepada penumpang dan keluarganya selain bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.