Rasional Gabungan Parti Sarawak Ditubuhkan

Awal hari ini, satu lagi kejutan berlaku dalam senarion politik negara apabila kerajaan negeri Sarawak mengumumkan, empat parti komponen utama BN di Sarawak, meninggalkan Barisan Nasional dan membentuk satu gabungan baru parti politik yang berasaskan anak jati Sarawak. Mungkin, ianya dilihat sebagai satu tindakan mengejut yang dibuat oleh kerajaan negeri Sarawak, namun ia sebenarnya sudah lama dijangka.

Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB) selaku parti induk di Sarawak sudah tentu mempunyai alasan yang amat kukuh setelah melihat bagaimana UMNO yang menerajui Barisan Nasional di Semenanjung ditumbangkan oleh gabungan PKR, DAP, PPBM dan PAN yang membentuk Pakatan Harapan di Semenanjung. Sudah tentu, PBB, SUPP, PRS dan PDP turut merasakan ancaman maha hebat bakal berlaku pada Pilihan Raya Negeri Sarawak, beberapa tahun yang akan datang.

Perlu ditekankan disini, senario politik Sarawak jauh berbeza dengan senario politik di Semenanjung.Di Sarawak, sosio politiknya lebih mengutamakan hal ehwal setempat berbandingsibuk memperkatakan tentang pelbagai isu nasional seperti 1MDB dan sebagainya. Apa yang diberi perhatian oleh rakyat adalah, sejauh mana parti dan calon berkenaan mampu berjuang untuk nasib masyarakat setempat.

Sejak dari awal lagi, PBB sememangnya menjadi parti induk di Sarawak yang mana, majoriti daripada ADUN di Sarawak adalah terdiri daripada calon dari PBB. Malah, kesemua Ketua Menterinya juga datangnya dari PBB yang mana PBB adalah sebuah parti yang diasaskan terus dari bumi Sarawak sendiri. Perkara yang sama turut dikongsi oleh parti PRS, SUPP dan PDP yang diasaskan di bumi Sarawak.

Tidak seperti PKR, DAP, PAN, PAS dan PPBM di Sarawak, kesemua parti berkenaan adalah “diimport” dari Semenanjung untuk berdiri bagi menentang penguasaan PBB di Sarawak. Jika mahu dinilai dari segi lokaliti, sudah semestinya, PBB, SUPP, PRS dan PDP akan lebih menjuarai nasib rakyat berbanding kesemua gabungan parti “lepeh” yang cuba mengganggu gugat kestabilan negeri Sarawak.

Justeru, adalah mudah untuk difahami, keputusan Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Haji Abang Haji Openg ini, cukup terbaik buat rakyat Sarawak setelah menilai sendiri keadaan semasa yang berlaku di dalam Barisan Nasional di Semenanjung. Pastinya, beliau enggan membawa masalah yang membelenggu BN di Semenanjung terheret sama kedalam masalah di Sarawak yan disifatkan amat berlainan sama sekali.

Ditambah pula dengan masa depan BN Semenanjung yang sudah tidak ada hala tuju yang jelas, beliau pastinya mahu kesemua parti yang membentuk Barisan Nasional Sarawak sebelum diubah menjadi Gabungan Parti Sarawak ini, lebih fokus kepada isu rakyat Sarawak. Malah, beliau pastinya mahu GPS ini menjadi satu gabungan solid yang membawa kepentingan rakyat Sarawak ke peringkat pusat.

Benar, BN Semenanjung pasti akan berasa terkesan dengan keputusan Sarawak ini. Namun, inilah survivor politik. Bukan mahu menafikan atau memadamkan segala jasa BN Semenanjung di Sarawak, penubuhan GPS ini sebenarnya adalah salah satu simbolik, perjuangan BN Sarawak masih diteruskan cuma perlu penambah baik dan pemfokusan terhadap isu rakyat Sarawak berbanding mencampur adukkan segala permasalahan sehingga mengakibatkan rakyat Sarawak sendiri mula sangsi dengan pendirian BN Sarawak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.