Taja Anak Orang Kaya? Ini Jawab MARA

Majlis Amanah Rakyat (Mara) menafikan dakwaan bahawa agensi itu tidak memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah.

Mara dalam satu kenyataan pada Isnin menegaskan agensi itu sentiasa meletakkan golongan B40 dan berpendapatan rendah sebagai salah satu syarat untuk menerima apa jua kemudahan disediakan agensi tersebut.

“Program Penganjuran Pelajaran (BPP) Mara diwujudkan untuk memberi kemudahan pinjaman pelajaran kepada mereka yang layak di institusi pendidikan terpilih dalam dan luar negara.

“Mara juga memberi penekanan kepada kumpulan sasar berpendapatan rendah dengan meletakkan syarat status sosio ekonomi keluarga (SES) sebagai salah satu kriteria utama,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan agensi berkenaan.

Pada masa sama, Mara turut menjelaskan bagi pelajar dengan pendapatan ibu bapa kurang daripada RM8 ribu sebulan, golongan tersebut akan diberikan pinjaman meliputi yuran dan elaun sara hidup.

Manakala bagi pelajar dengan pendapatan ibu bapa RM15 ribu ke bawah, Mara berkata mereka akan diberikan yuran atau elaun sara hidup sahaja.

“Walaupun begitu, bagi pelajar dengan ibu bapa dari kumpulan berpendapatan tinggi iaitu RM15 ribu ke atas, Mara menyediakan Skim Mara dengan kerjasama bank yang dikenali sebagai MARA-Bank Scheme,” katanya.

Selain itu, menurut Mara, syarat lain yang perlu diambil kira ialah pencapaian akademik, bebas penyakit kronik atau berjangkit, tidak menerima bantuan atau tajaan kewangan dari mana-mana agensi serta pemohon mestilah warganegara dan Bumiputera.

“Bagi program Pembangunan Bakat Muda (YTP), terdapat syarat tambahan iaitu pelajar perlu lulus MARA Student Assessment Programme (MSAP),” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi balas kepada persoalan seorang netizen yang mendakwa bahawa terdapat pelajar golongan kurang berkemampuan tidak mendapat kemudahan Mara tetapi sebaliknya ia diberikan kepada pelajar golongan berpendapatan tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.