Video Penguatkuasa Tumbuk Peniaga, Biar Polis Ambil Tindakan

Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis berhubung insiden pergaduhan melibatkan pegawai Penguatkuasa MPK dan dua peniaga air di Bazar Aidilfitri Jalan Taiping.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya telah meneliti rakaman video insiden berkenaan yang tular di laman sosial sejak kelmarin dan mengakui pegawainya bertindak balas namun menegaskan ia berpunca daripada provokasi yang dimulakan oleh peniaga terbabit.

Malah, katanya, peniaga terbabit berniaga tanpa lesen yang sah dan tidak pernah membayar sewa tapak seperti peniaga lain selain telah diberikan amaran dan peringatan oleh penguat kuasa beberapa kali sebelum itu.

“Peniaga berkenaan telah diberikan peringatan untuk berhenti berniaga kerana beroperasi tanpa kebenaran dan lokasi yang tidak dibenarkan. Bukan setakat ingkat dengan arahan, malah telah melakukan provokasi terhadap anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas.

“Kekecohan berlaku apabila peniaga menghalang kerja penguat kuasa merampas balang air sehingga berlaku pergelutan.

“Oleh demikian, kita menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Namun MPK juga akan memanggil anggota terlibat untuk penjelasan dan siasatan dalaman,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Bangunan MPK, semalam.

Kelmarin, satu rakaman video tular sejak kelmarin memaparkan insiden kekecohan melibatkan Penguatkuasa MPK dan peniaga di Bazar Aidilfitri Jalan Taiping.

Dalam video berkenaan, dua peniaga dilihat cuba menghalang penguat kuasa merampas balang air sebelum balang pecah sehingga berlaku kekecohan dan adegan tumbuk menumbuk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.