Pengurus Rogol Rakan Sekerja

PENGURUS hartanah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan merogol rakan sekerjanya, Januari lalu.

Lee Chee Thian, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noradura Hamzah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol wanita berusia 30 tahun empat bulan itu di sebuah kondominium di Jalan Pinang di Kuala Lumpur, pada jam 2.50 pagi, 25 Januari lalu.

Dakwaan terhadap bapa seorang anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Peguam Loke Kok Mun yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diberikan jaminan atas alasan tertuduh menanggung keluarga serta tiada pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Dia juga dilarang mengganggu saksi dan mangsa hingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Julai ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.