Video Kambing Beratur Naik Van

“KAMBING ini dilatih setiap hari, sebab itu mereka faham apabila saya arah masuk ke dalam van selepas meragut rumput di kawasan lapang,” kata Md Amin Rahim, 63, penternak kambing di Kampung Petagas dekat Kota Kinabalu.

Gelagat lebih 40 kambing beratur masuk ke dalam sebuah van sebelum dibawa pulang oleh tuannya menarik perhatian orang ramai terutamanya pelancong yang kebetulan berada di kawasan lapang hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sehingga video tular di media sosial, baru-baru ini.

Menurut Md Amin, setiap hari dia akan membawa kambingnya itu ke lokasi yang terletak tidak jauh dari rumahnya dengan menaiki sebuah van untuk diberi makan bermula jam 3 petang sehingga 6 petang.

“Ini rutin harian saya sejak 2016 selepas kambing itu mula membiak sehingga mencecah lebih 40 ekor.

“Disebabkan kawasan halaman rumah tidak ada ruang yang luas, saya bawa semua kambing ini menggunakan van ke kawasan lapang yang ada rumput, sama ada di sini (hadapan KKIA) atau Tanjung Aru untuk diberi makan.

“Semua kambing saya biasanya mengikut arahan, kalau disebut perkataan ‘naik’ sambil saya menghalau, mereka akan mula beratur masuk satu demi satu ke dalam van untuk pulang,” katanya yang pernah bekerja sebagai pemandu teksi.

Menceritakan semula bagaimana dia mula menternak kambing itu, Md Amin berkata, ia bermula dengan lima ekor kambing yang dibelinya dari sebuah kampung di Beaufort pada 2012.

“Biasanya saya cuma ambilkan makanan untuk semua kambing ini tetapi sejak semakin banyak membiak, saya sudah tidak mampu dan terpaksa membeli sebuah van untuk mengangkut semua kambing ini untuk diberi makan di kawasan lapang,” tambahnya.

Katanya lagi, disebabkan kambingnya itu semakin banyak, dia terpaksa mengurangkan jumlah kambing yang diternaknya kerana tiada siapa yang dapat membantu menguruskannya.

“Saya terpaksa menjualnya kepada orang ramai terutamanya untuk tujuan kenduri atau majlis aqiqah supaya jumlahnya dapat dikurangkan.

“Biasanya permintaan meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha untuk dijadikan korban dan setakat ini saya sudah jual lebih 10 ekor dan tiga lagi sudah ditempah.

“Hasil jualan kambing ini juga saya gunakan untuk perbelanjaan harian keluarga dan kos menternak haiwan ini selain digunakan untuk membeli van terbabit,” katanya.

Walaupun begitu katanya, dia masih lagi menjaga semua kambing itu kerana berasa seronok walaupun terpaksa bekerja keras terutamanya ketika mahu mendapatkan makanan untuk ternakannya itu.

“Kalau hujan, saya terpaksa meredah hujan bagi mendapatkan bekalan rumput segar untuk diberi makan kepada ternakan.

“Disebabkan rasa tanggungjawab dan tidak mahu haiwan ternakan lapar, saya tidak kisah kalau terpaksa meredah hujan untuk mendapatkan rumput,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.