UMNO Teruskan Perjuangan Berpaksikan Kejujuran Hati Suci

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengajak umat Islam memperkukuhkan ukhwah hubungan sesama insan sambil berikrar memperbaiki setiap kealpaan dan kesilapan diri tanpa melupakan nikmat serta kebesaran Allah SWT.

Kepada ahli UMNO beliau mengajak semua pihak kembali membina iltizam meneruskan perjuangan di bumi bertuah ini berpaksikan kepada kejujuran hati suci mentarbiahkan keesaan Ilahi dan bersama menyalakan obor suci agama Islam yang kita anuti bersama.

Berikut kenyataan penuh perutusan sempena Aidilfitri Ahmad Zahid, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden UMNO.

1. Bersama gema takbir, saya dan keluarga serta teman-teman seperjuangan ingin mengucapkan salam eid-fitr yang penuh mulia dan barokah kepada seluruh pucuk pimpinan tertinggi dan warga besar UMNO di semua peringkat cawangan, bahagian, negeri dan nasional.

2. Dalam kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan salam Eid at-Fitr kepada seluruh rakyat di mana jua anda berada yang saya yakini sentiasa memberi sokongan kepada kami dalam meneruskan perjuangan suci demi memartabatkan agama, bangsa dan tanah air.

3. Sesungguhnya kehadiran Aidilfitri ni juga merupakan nikmat besar dari Ilahi kerana kita berkesempatan mengerjakan ibadat berpuasa serta membayar zakat fitrah sebagaimana yang dituntut oleh ajaran kita Islam yang syumul dan maha suci. Ia juga merupakan perundangan agar kita sentiasa memperkukuhkan ukwah tali persaudaraan sesama Muslimin dan Muslimat.

4. Malahan ia turut merangkumi asas yang satu, kemurnian kerohanian. kebenaran, keadilan, kebijaksanaan melestari budaya ilmu membina kebahagiaan duniawi dan ukhrawi.

5. Sewajarnya dalam kita melalui semangat kehadiran syawal selepas mengerjakan ibadat berpuasa, bertahmid, berzikir dan bertarawih dalam sebuah jemaah suci tanpa melupakan witir dalam selawat kepada baginda junjungan Rasulullah SAW, saya mengundang saudara-saudari untuk memperkukuhkan ukhwah hubungan sesama insan sambil berikrar memperbaiki setiap kealpaan dan kesilapan diri tanpa melupakan nikmat serta kebesaran Allah SWT.

6. Dengan penuh rendah diri saya mengajak saudara dan saudari sekalian untuk kembali membina iltizam kita meneruskan perjuangan di bumi bertuah ini berpaksikan kepada kejujuran hati suci mentarbiahkan keesaan Ilahi dan bersama menyalakan obor suci agama Islam yang kita anuti bersama.

7. Saya yakin dengan memperkukuhkan jalinan ukhwah sesama Muslimin dan Muslimah, kita juga tetap memelihara keharmonian umat yang pelbagai latar kehidupan, budaya, keturunan dan pegangangan agama, untuk kita sama sama membena negara agar sentiasa terpelihara dari sebarang musibah dari kekihlafan insaniah.

8. Oleh itu, amat penting kita tanamkan kepada generasi muda agar sentiasa bertoleransi terhadap perbezaan, jangan memaksakan kehendaknya yang belum tentu kebenarannya.

9. Menjadi Muslim yang sentiasa merangkul bukan memukul, mengajak bukan mengejek, sentiasa mendidik bukan mengherdik dan yang sentiasa bertoleransi akan perbezaan, kerana perbezaan itu indah jika mengambil kira dari segi positifnya.

10. Sesungguhnya pengajaran terpenting adalah perdamaian itu harganya sangat mahal.

11. Oleh itu, jangan sampai mudah terpancing dengan perbezaan sehingga menimbulkan perpecahan.

12. Semua lapisan masyarakat pelbagai bangsa dan agama dijemput bersama menyambut Aidilfitri bersama umat Islam sebagai lambang perpaduan.

Yang jauh itu waktu,

Yang dekat itu mati,

Yang besar itu nafsu,

Yang berat itu amanah,

Yang mudah itu berbuat dosa,

Yang panjang itu amal soleh,

Yang indah itu saling memaafkan.

(Imam Al-Ghazali)

Salam Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.