Jangan Burukkan Islam Demi Politik

SEPANJANG beberapa hari ini saya fikir ada beberapa kenyataan yang agak menghina dan dalam jangka masa panjang boleh menjejaskan imej Islam di negara ini.

Pertama kenyataan bahawa lebih baik orang bukan Islam yang bersih daripada Muslim yang korup menjawat jawatan penting negara. Kenyataan ini adalah sebagai jawapan politik kepada kritikan terhadap kerajaan mengenai pelantikan Peguam Negara dan Menteri Kewangan daripada kalangan rakyat bukan Islam.

Bahaya kenyataan ini ialah memberi gambaran bahawa seolah-olah semua ahli politik dan peguam Islam di negara ini adalah korup dan tidak boleh dipercayai. Selebihnya apakah begitu jauh sekali nilai agama kepada kita sehingga kerana politik kita merendahkan semua Muslim di dalam negara ini?

Rakan-rakan yang bukan beragama Islam jangan salah faham. Ia bukan bermakna negara ini menyekat kebebasan mencapai kejayaan dan kecemerlangan individu. Di negara ini semua orang bebas mencapai kecemerlangan dan kekayaan. 70 peratus kekayaan negara ini dikuasai oleh bukan Islam.

Hanya dalam jawatan-jawatan penting negara seperti Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis, Tentera dan Komunikasi negara wajar kekal di tangan orang Islam.

Ini kerana negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan seharusnya mereka yang percaya kepada Islam diberi tanggungjawab memastikan kepentingan Islam terus terpelihara.

Dakyah bahawa lebih baik non-Muslim yang bersih berbanding Muslim yang korup juga sangat melucukan apabila Lim Guan Eng sendiri yang dilantik sebagai Menteri Kewangan bukanlah individu yang ‘bersih’ sepenuhnya. Beliau sendiri terpalit dengan pelbagai dakwaan dan pertuduhan termasuk skandal beratus juta terowong Pulau Pinang.

Ada juga ustaz yang ketika mempertahankan keputusan tersebut membandingkan sama ada kita hendak membenarkan seorang ahli bomba bukan Islam membantu memadam rumah yang terbakar atau menunggu ahli bomba Islam.

Perbandingan seperti ini sangat ‘membodohkan’ umat tetapi begitu popular. Islam tidak pernah mengehadkan hubungan antara bukan Islam dan Islam. Apa yang digariskan oleh para ulama terdahulu ialah jawatan-jawatan utama dalam negara Islam hendaklah diisi oleh Muslim kecuali kepakaran tersebut tiada dalam kalangan Muslim.

Saranan saya jika perlu melantik bukan Islam atas jawatan utama cakaplah sahaja ia satu persefahaman politik bukannya menghina orang Islam sebagai korup dan tidak boleh dipercayai. Jangan pula membandingkan tugas seorang ahli bomba dengan penjaga khazanah negara atau pengawal selia perundangan negara.

Perkara kedua yang merunsingkan ialah tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berterusan menyerang jemaah haji yang dibiayai oleh Yayasan 1MDB sebagai jemaah haji hasil wang curi.

Tujuan beliau ialah politik, iaitu pembunuhan karakter musuh politiknya, Mohd Najib Razak. Namun kesannya ialah kepada hati dan perasaan orang Islam, terutamanya mereka yang pernah menunaikan haji dengan pembiayaan Yayasan 1MDB.

Yayasan 1MDB, seperti yayasan-yayasan lain, menerima sumbangan pelbagai pihak. Jadi selain sumbangan daripada 1MDB selaku induk, ia juga menerima bantuan dan geran daripada pihak lain. Ini adalah kelaziman semua yayasan di negara ini.

Sehingga hari ini tiada sebarang bukti dikemukakan di mahkamah bahawa pembiayaan jemaah haji ini dibiayai oleh hasil wang curi.

Kita faham tuduhan yang dibuat sebagai pembangkang. Namun sebagai Perdana Menteri sebarang tuduhan harus dibuat dengan cermat dan berdasarkan bukti, bukannya andaian.

Menyerang dan mencemuh jemaah haji yang melalui tajaan Yayasan 1MDB sebagai jemaah haji hasil wang curi hanya menunjukkan kerajaan ini telah hilang rasionaliti dan tenggelam dalam fantasi ciptaan sendiri.

Umat Islam di negara ini perlu segera keluar dari ketaasuban berpolitik atau berhadapan penghakisan kedudukan Islam di negara ini.

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.