Najib Tidak Mahu Tinggalkan Malaysia

Walaupun dikaitkan dengan pelbagai tuduhan melibatkan penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan rasuah, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mahu meninggalkan negara ini.

Ahli Parlimen Pekan itu dengan yakin memberitahu, beliau bersedia berhadapan dengan pelbagai tuduhan termasuklah kemungkinan dipenjarakan.

Najib dalam satu temubual bersama media antarabangsa, Reuters di Pulau Langkawi baru-baru ini menjelaskan beberapa isu mengenai tuduhan terhadapnya termasuklah penemuan beg-beg tangan berjenama mewah dan wang tunai dalam dua buah unit kondominium yang dikaitkan dengannya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memaklumkan kepada Reuters bahawa pihak berkuasa mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa Najib.

Najib walau bagaimanapun memberitahu, beliau tidak mengetahui jika terdapat ratusan juta Dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 1MDB masuk ke akaunnya termasuklah wang berkaitan pembelian hartanah mewah, kapal layar, lukisan dan permata mahal.

Najib tidak mahu tinggalkan Malaysia

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditemubual wartawan Reuters ketika sedang bercuti bersama keluarga di Pulau Langkawi, Kedah, baru-baru ini. – REUTERS
“Saya tidak terfikir untuk keluar dari Malaysia untuk ‘menyelamatkan diri’. Saya tidak mahu dianggap bersalah sepanjang hayat, saya mahu nama saya dibersihkan.

“Kalau saya lari, masyarakat akan menganggap saya bersalah dalam hal ini.

“Saya tidak berparti di atas kapal layar, membeli lukisan mahal (Picasso) dan tidak pernah pun melihat lukisan itu.

“Jika saya tahu mengenai pembelian atau transaksi berkaitannya, saya tidak akan membenarkan dana 1MDB digunakan untuk tujuan itu,” katanya.

Tambahnya, beliau sudah lama berkhidmat dengan kerajaan dan tahu yang mana satu benar atau salah.

Menurut Najib, pihak pengurusan 1MDB sepatutnya memberitahu jika terdapat sesuatu yang tidak kena.

Dalam pada itu, Najib turut memberitahu beg-beg tangan dan barangan mewah yang dirampas sebenarnya merupakan hadiah daripada orang lain termasuklah menantunya warga Kazakzhstan, Daniyar Nazarbayev.

“Betul, barangan mewah itu merupakan hadiah yang diberikan kepada isteri dan anak perempuan saya.

“Malah terdapat label tertulis daripada siapa pada setiap beg tangan yang dirampas.

“Antara pemberinya adalah menantu saya yang turut membelikan beg berjenama Hermes Birkin untuk ibu mertuanya (Datin Seri Rosmah Mansor). Bukan satu, kadang-kadang sampai lima atau enam buah dalam satu masa,” jelasnya.

Najib turut menjelaskan, sejumlah wang tunai RM114 juta yang ditemui dalam rumah keluarga mereka di Kuala Lumpur itu juga merupakan milik UMNO.

Beliau juga menjelaskan bahawa barangan kemas melibatkan sebuah loket dan rantai batu permata 22 karat berwarna merah jambu bernilai lebih 200 juta dolar AS juga merupakan hadiah untuk Rosmah.

“Saya tahu itu hadiah, tetapi sampai sekarang pun Rosmah kata dia tidak pernah memilikinya,” katanya.

Najib turut mengulas mengenai tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS memfailkan tindakan undang-undang terhadap aset bernilai 1.7 bilion dolar AS dicuri daripada 1MDB.

Isu berkenaan juga dikaitkan dengan penglibatan Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low termasuk isu berkaitan pembelian lukisan Picasso, hartanah mewah di Selatan California dan New York, saham dalam syarikat penerbitan di Hollywood dan kapal layar benilai 265 juta dolar AS.

“Saya tidak pernah mengarahkan Jho Low untuk terlibat dalam 1MDB.

“Dia sendiri yang mencadangkan kepada saya untuk untuk membuat sesuatu dan saya mengharapkan kaitan antara dia dengan negara-negara di Timur Tengah seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia,” jelasnya.

Sementara dakwaan mengenai sejumlah wang bernilai RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib dikatakan tidak termasuk dalam kes yang difailkan oleh DOJ.

Malah beliau sebelum ini juga pernah menjelaskan bahawa wang tersebut merupakan sumbangan daripada Arab Saudi selepas diberi jaminan oleh Rajanya sebelum ini iaitu Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz.

“Saya menerima sumbangan daripada Arab Saudi seperti yang dititahkan oleh Almarhum Raja Abdullah.

“Walaubagaimanapun, saya menyerahkan kepada Pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil untuk menguruskannya. Tidak tahu pula transaksi tersebut melibatkan akaun peribadi saya,” katanya.

Berikutan itu, pihak berkuasa telah mengeluarkan waran tangkap kepada Nik Faizal, walau bagaimanapun, beliau masih gagal ditemui. – REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.