Zambry Tidak Bertanding Naib Presiden

Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menegaskan, keputusan beliau tidak bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti kali ini kerana mahu memberi ruang kepada calon lain.

Beliau yang akan bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, walaupun ramai yang mengesyorkan beliau bertanding Naib Presiden, namun beliau berpandangan peluang wajar diberikan kepada orang lain.

“Saya bukan takut untuk bertanding jawatan tersebut (Naib Presiden) tapi lebih kepada untuk memberi ruang untuk calon lain.

“Saya ucapkan terima kasih pada mereka yang mengusul dan memberikan kepercayaan pada saya untuk bertanding jawatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lumut di sini hari ini.

Menurut Zambry, beliau akan terus mencurahkan khidmat kepada parti jika menang jawatan Ahli Majlis Tertinggi.

“Kalau dapat beri sedikit sebanyak dalam pemulihan parti, saya akan beri setakat termampu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.