Bursa Malaysia Menjunam Pada Paras Terendah

Bursa Malaysia menjunam sebanyak 16.05 mata atau 0.95 peratus kepada 1,678.10 mata iaitu paras terendah sejak Januari 2017 ekoran kejatuhan saham syarikat perbankan dan tele­komunikasi serta tindakan penjualan oleh dana-dana asing yang memasuki hari ke-34.

Bursa pada hari ini dibuka 12.87 mata lebih tinggi kepada 1,707.02 mata pada pukul 9 pagi didorong laporan berita positif minggu lalu mengenai pelantikan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkuat kuasa 1 Julai 2018.

Pada 9.07 pagi hari ini, penanda aras FBM KLCI meningkat 8.15 mata kepada 1,702.30 mata daripada 1,694.15 mata ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Bagaimanapun pada akhir dagangan pagi, bursa tempatan itu mencatatkan kejatuhan yang dipengaruhi oleh sentimen luaran, terutama ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China. Kejatuhan itu turut me­landa bursa saham Asia yang lain.

Ketika ditutup 5 petang, jumlah dagangan berkurangan kepada 2.04 bilion saham bernilai RM1.97 bilion dengan 298 kaunter mencatat untung, 520 kaunter rugi dan 406 kaunter tidak berubah.

Ringgit pula ditutup pada kadar RM4.0150/0180 berbanding dolar AS. Mata wang itu menyusut 0.43 peratus bagi minggu lalu kepada RM4.0022 berbanding dolar AS, yang juga merupakan kemerosotan terbesar dalam tempoh lima minggu.

MIDF Research dalam nota kajiannya berkata, sejumlah RM1.89 bilion nilai bersih dibawa keluar oleh pelabur asing minggu lalu, melebihi paras RM1 bilion untuk kali kelima berturut-turut.

“Berdasarkan data awal Bursa Malaysia sehingga 22 Jun 2018, pelabur luar pesisir telah menarik keluar ekuiti dari Malaysia sejak 2 Mei, melebihi rekod jualan 29 hari yang dicatatkan pada awal Januari hingga pertengahan Februari 2014.

“Indeks FBM KLCI mengakhi­ri sesi minggu lalu dengan 3.84 peratus lebih rendah pada kadar 1,694 mata pada Jumaat dan merupakan penurunan terbesar minggu tersebut sejak Ogos 2015,” katanya.

MIDF Research turut menambah, dana global merekodkan penjualan terbanyak pada hari Selasa dengan nilai RM555 juta, se­ren­tak dengan penurunan terbesar di FBM KLCI untuk tempoh 13 hari dagangan pada kadar 1.61 peratus akibat daripada pergese­ran perdagangan antara AS dan China.

“Aktiviti jualan selepas itu berada di bawah paras RM400 juta pada hari Rabu dan Khamis de­ngan masing-masing berjumlah RM384 juta dan RM264.9 juta,” katanya.

FBM KLCI terus bergerak dalam arah menurun untuk ditutup pada paras terendah sejak Februari 2017 dengan 1,692 mata pada Khamis, menjadikannya penurunan hari kesembilan berturut-turut.

Saham Telekom Malaysia Bhd. (TM) jatuh 12 peratus di tengah-tengah kebimbangan terhadap penurunan harga jalur lebar.

“FBM KLCI kembali meningkat 0.11 peratus pada Jumaat berikutan aktiviti menambah baik akaun sebelum suku kedua 2018 berakhir.

“Walau bagaimanapun, jualan asing dilihat menurun ke paras RM444 juta pada hari yang sama akibat krisis perdagangan antara Beijing dan Washington yang te­rus menjadi kebimbangan terbesar dalam kalangan para pelabur.

“Kami berpendapat bahawa perkembangan luar akan terus menjejaskan kadar aliran masuk dan keluar dari Malaysia,” kata­nya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.