Guan Eng Seperti Sengaja Permainkan Sentimen Perkauman

Pemuda UMNO menuntut supaya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menarik balik kenyataan medianya serta memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat negara.Ini ekoran tindakan Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan rasmi Kementerian Kewangan dengan menggunakan Bahasa Mandarin yang dilihat telah merendahkan martabat bahasa Melayu dan mengenepikan penggunanya sebagai bahasa kebangsaan serta dalam urusan rasmi kerajaan Persekutuan.

Ketuanya Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki berkata, tindakan Guan Eng sama sekali tidak boleh diterima dan seperti sengaja ingin mempermainkan sentimen perkauman dan menghina kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Janganlah atas nama Malaysia Baharu, semua perkara hendak dihalalkan sehingga sanggup mencabuli prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada kesejahteraan dan keharmonian negara sejak 61 tahun lalu.

“Tindakan ini juga sama sekali bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menyebutkan ‘Bahasa Kebangsaan Hendaklah Digunakan Bagi Maksud Rasmi’. Dalam konteks ini umum mengetahui bahawa bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Dr. Asyraf lagi, sebagai orang lama dalam arena politik, Guan Eng sepatutnya lebih peka dan sensitif bahawa apa-apa tindakan yang dilakukan tidak boleh menyentuh hal dan perkara yang telah termaktub dan dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.