ADUN Sungai Kandis Meninggal Dunia

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma tahap empat di Pusat Perubatan Subang Jaya, pagi ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 11.10 pagi selepas menjalami rawatan di pusat rawatan berkenaan difahamkan sejak pertengahan bulan lalu.Pada penggal lalu, Mat Shuhaimi, 49, merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selain merupakan Ketua Penerangan PKR Selangor.

Jenazah Allahyarham dijangka disempurnakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 selepas solar Asar.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor yang baharu, Amirudin Shari dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan pemergian Mat Shuhaimi merupakan satu kehilangan besar kepada kerajaan negeri dan PKR.

“Allahyarham merupakan seorang ADUN sangat komited, bertanggungjawab dan disenangi rakyat dan rakan taulan. Allahyarham juga merupakan sahabat karib saya dan rakan seperjuangan dalam politik.

“Khidmat bakti dan pengorbanan Allahyarham kepada rakyat dan negeri Selangor adalah sangat besar dan tidak ternilai. Semoga Allah SWT memberi ganjaran yang baik atas segala jasa dan budi Allahyarham,” katanya.

Mat Suhaimi mula menjadi wakil rakyat sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 pada tahun 2008 selepas memenangi kerusi DUN Seri Muda dan seterusnya di kerusi yang sama pada PRU-13.

Pada PRU-14 yang berlangsung 9 Mei lalu, Mat Suhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis setelah menewaskan calon daripada Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan majoriti 12,480 undi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.