Saya Akan Buktikan – Najib Razak

Datuk Seri Najib Tun Razak komited mahu membuktikan dia tidak bersalah me­lalui proses mahkamah yang adil.Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri menerusi catatan di akaun Facebook beliau menegaskan dugaan yang sedang dihadapinya ketika ini akan didepani dengan cekal.

Beliau berkata, mata hatinya ketika melalui dugaan ini sentiasa kepada Allah SWT yang maha mengetahui dan maha adil.

“Jika penganiayaan ini adalah harga yang perlu saya bayar demi perjuangan saya untuk rakyat, demi kemakmuran negara, demi kebajikan rakyat, saya sesungguhnya reda dengan dugaan dunia ini.

“Sesungguhnya, dengan izin Allah, sebagaimana saya perjuangkan hak rakyat, saya akan perjuangkan keadilan untuk diri saya bagi membuktikan saya tidak bersalah pada pertuduhan-pertuduhan ini,” kata beliau.

Semalam, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn. Bhd. dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu yang membabitkan RM42 juta.

Bekas Presiden UMNO itu dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta berserta dua penjamin dan pasport biasa serta pasport diplomatik beliau diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Perbicaraan terhadap Najib atas pertuduhan-pertuduhan tersebut dijadualkan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini selama 19 hari mulai 18 Februari tahun depan.

Dalam pada itu, Najib menzahirkan ucapan terima kasih kepada anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak keselamatan di atas laya­nan baik, penuh hormat serta sikap profesionalisme mereka ketika beliau ditahan.

Najib turut tersentuh dengan kenyataan dikeluarkan oleh penyokong serta pihak yang pernah menentang beliau satu ketika dulu, menggesa kerajaan memberi layanan adil kepadanya selain menghormati undang-undang.

“Apa pun, sepanjang hampir 24 jam ini, saya dapat lihat sokongan dari rakyat Malaysia kepada saya sama ada dengan hadir di luar bangunan SPRM, di mahkamah dan di media sosial.

“Saya dan keluarga mengucapkan terima kasih kepada anda semua di atas sokongan yang tidak putus-putus kepada saya dan keluarga,” ujar beliau.

Menurut Najib, sokongan dan kata-kata semangat yang diterima sangat bermakna untuk beliau dan keluarga ketika menghadapi dugaan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.