Parlimen Milik BN?

Dewan Negara yang akan bersidang bermula 20 Ogos hingga 19 September ini bakal menarik perhatian ramai apabila majoriti senator ketika ini terdiri daripada wakil Barisan Nasional (BN).

Komposisi yang berbeza berbanding Dewan Rakyat yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu akan memastikan Dewan Negara memainkan peranan sebenar sebagai Upper House yang bukan sekadar rubber stamp, meluluskan bulat-bulat rang undang-undang dari Dewan Rakyat.

Ini sekali gus menimbulkan persoalan sama ada rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat seperti Rang Undang-undang Cukai Jualan dan Per­khidmatan (RUU SST) nanti akan berdepan kemungkinan ditolak ketika perbahasan di peringkat Dewan Negara berikutan senario tersebut tadi.

Berdasarkan portal Parlimen, daripada 51 orang senator, hanya sembilan mewakili parti komponen Pakatan Harapan (PH) berbanding 28 daripada wakil BN iaitu 20 UMNO, lima MCA dan tiga MIC.

Turut berada di blok pembangkang ialah tiga senator mewakili Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) (tiga), Gerakan (dua) manakala Parti Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF) pula seorang wakil.

Tiga lagi senator pula mewaki­li masyarakat Siam, Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU) dan mereka ini dilantik oleh kerajaan BN sebelum ini.

Komposisi ahli Dewan Negara yang dikuasai BN turut di­bangkitkan bekas Ke­tua Media dan Komunikasi bagi Jawatankuasa Peralihan Majlis Penasihat Kerajaan, Datuk A. Kadir Jasin menerusi blog beliau semalam.

PH masih mem­punyai ruang me­lantik 19 lagi senator berdasarkan kekosongan ahli Dewan Negara sekali gus menjadikan 28 orang, berikutan Perlembagaan Persekutuan me­netapkan bila­ngan maksimum 70 orang.

Mengulas perkara ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad berkata, Dewan Negara tidak akan menjadi tempat untuk mana para senator berbahas dengan emosi.

Katanya, walaupun setakat ini bilangan senator yang dilantik oleh BN melebihi jumlah yang dilantik oleh kerajaan PH, itu tidak bermaksud akan berlaku perkara-perkara seperti rang undang-undang akan sengaja ditolak atau sebagainya.

“Setiap rang undang-undang yang dibawa ke Dewan Negara akan diperhalusi dan dibahas mengikut prosedur yang ditetapkan dan ada merit ditetapkan sebelum rang undang-undang diluluskan di Dewan Negara.

“Jika rang undang-undang tersebut ada kekurangan, kita boleh tolak untuk dibahaskan sekali lagi di peringkat Dewan Rakyat tetapi perkara ini lazim­nya jarang berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, setiap ahli Dewan Negara akan mengutamakan kepentingan rak­yat dalam setiap perbahasan rang undang-undang.

“Kali ini Dewan Negara pasti akan lebih berhati-hati dalam membuat tapisan rang undang-undang demi kebaikan rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.