Khemah Hawa Dingin “Hadiah” Kerajaan Arab Saudi

Khemah berhawa dingin di Arafah ketika wukuf. Itu satu lagi ‘hadiah’ kerajaan Arab Saudi kepada jemaah haji Malaysia musim ini, selepas khidmat ‘fast track’ atau pelepasan segera di terminal ketibaan di lapangan terbang di Jeddah dan Madinah.

Keistimewaan terbaru itu diumumkan Pengerusi Majlis Tertinggi Muassasah Asia Tenggara Muhammad Amin Hassan Andarqiri ketika berucap di majlis taaruf bersama pengurus 12 maktab penginapan Tabung Haji (TH) untuk jemaah Malaysia di sini, Sabtu malam.

Dengan kemudahan itu, muassasah Malaysia menjadi jemaah haji pertama di dunia yang menikmatinya kerana sebelum ini khemah berhawa dingin di padang Arafah hanya dinikmati jemaah VIP dan mereka yang ke tanah suci dengan pakej khas.

“Pada peringkat awal, tahun ini kita membuat perjanjian dengan TH untuk menaik taraf kemudahan (khemah di Arafah) daripada kipas wap air (yang digunakan tahun lalu) kepada kipas penyejuk udara.

“Namun kerana hubungan baik antara kedua-dua negara, kami memutuskan untuk menaik taraf kemudahan ini terus kepada pendingin hawa, khusus untuk jemaah haji Malaysia. Ini jaminan daripada saya,” katanya.

Hadir sama, Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Salleh Abdul Rahman, Timbalannya Nurrinanuwar Shamsuddin dan Penyelia Jemaah Haji Malaysia Emad Faisal Fatani.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Muhammad Amin berkata, dengan kemudahan khemah berhawa dingin itu beliau yakin jemaah haji Malaysia dapat beribadat dengan lebih selesa ketika cuaca panas pada masa ini yang melebihi 40 darjah celcius.

Beliau turut memuji disiplin serta reputasi tinggi jemaah haji Malaysia selama ini dan berharap ia terus dikekalkan supaya dapat dicontohi oleh jemaah haji kain dari seluruh dunia.

Sementara itu, Syed Salleh berkata, kemudahan terbaru khemah berhawa dingin yang disediakan khusus untuk jemaah haji Malaysia itu adalah hasil hubungan dan kerjasama erat di antara TH dan Kementerian Haji Arab Saudi.

Merujuk kepada majlis taaruf yang diadakan itu, beliau berkata ia satu program tahunan yang bertujuan memberi ruang untuk pengurus 12 maktab muassasah jemaah haji Malaysia berkenalan dengan lebih rapat dengan rakan sejawatan mereka dari Majlis Muassasah Asia Tenggara sebelum operasi haji bermula.

“Apabila keadaan bertambah sibuk nanti (selepas ketibaan jemaah haji), persefahaman dari segi kerjasama dan sistem operasi kedua-dua belah pihak adalah amat penting dalam memastikan kelancaran operasi kita nanti,” katanya.

Sebelum majlis bermula ketibaan Syed Salleh bersama anggota rombongan petugas TH disambut meriah dengan alunan selawat dan qasidah selamat datang yang menjadi tradisi penduduk tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.