Ubah Taktik Di PRK Sungai Kandis

Jentera Barisan Nasional (BN) perlu berubah dan bergerak menggunakan taktik ‘gerila’ dalam memastikan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri. (DUN) Sungai Kandis.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, dalam persekitaran baharu ini, taktik secara konvensional tidak relevan dengan perkembangan teknologi maklumat.

Selain itu katanya, pemimpin dan ahli BN perlu terus berjuang dan tidak menganggap kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sebagai kesudahan parti berkenaan.

“Kita jangan anggap ini kiamat politik tetapi anggaplah ujian.Tunjukkan solidariti pada pemimpin termasuk dengan cara berkempen.

“Malah, jangan tunggu arahan untuk menggerakkan jentera. Jangan tunggu disogok atau tunggu habuan. Jika sayang pada negara, rakyat, bergeraklah sekarang lebih-lebih lagi zaman sekarang yang memerlukan taktik ‘unconventional war’ ,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengenalan Calon dan Penyerahan Anak Angkat Bahagian Selangor untuk PRK Sungai Kandis di sini malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad ; Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan ; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.

Dalam pada itu Annuar mahu semua pemimpin dan ahli BN bekerja keras dalam meraih sokongan rakyat.

“Tuhan menyuruh kita berpegang teguh pada tali Allah. Biarkan apa kata-kata Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini urusan kita dengan siapa mahu berpakat.

“Sebab itu kita pilih calon yang kaki melawan. Lawan tetap lawan,” jelas beliau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.