Mat Sabu Tutup Pusat Benteras Ekstremis, Arab Saudi Akan Terkilan

Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan Arab Saudi pasti terkilan dengan keputusan kerajaan menutup operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di sini, berkuat kuasa serta-merta.

Bekas Perdana Menteri berkata, KSCIP yang bertujuan membanteras golongan radikal dan ekstremis itu diilhamkan sendiri oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

“Itu sebabnya ia dinamakan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman dan maknanya ia disambut sebagai usaha yang amat baik kerana memilih Malaysia berbanding negara lain.

“(Ia seolah-olah) kita menolak bantuan daripada kerajaan Arab Saudi yang mempunyai hubungan akrab dengan Malaysia. Mereka akan terkilan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau diminta mengulas jawapan bertulis Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, di Dewan Rakyat semalam, berhubung tindakan kerajaan menghentikan operasi KSCIP.

Mei lalu, Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan akan berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung status KSCIP yang disokong Arab Saudi untuk membanteras golongan radikal dan ekstremis.

KSCIP diilhamkan selepas kunjungan Raja Salman ke Malaysia pada Mac 2017 serta penyertaan Najib selaku Perdana Menteri ketika itu, dalam sidang kemuncak di Riyadh yang turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

KSCIP ditubuhkan bersama Kementerian Pertahanan kedua-dua negara dan MWL, atau lebih dikenali dengan nama Arabnya, Rabitah al-Alam al-Islami.

Mohamad sebelum ini pernah mempersoalkan komitmen Malaysia menjadi tuan rumah kepada KSCIP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.