Akta Anti Berita Tidak Benar Dimansuhkan

Selepas empat bulan diwartakan sebagai undang-undang di bawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN), Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dimansuhkan di Dewan Rakyat, hari ini.Pemansuhan itu diluluskan selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, berkata pemansuhan itu dibuat kerana undang-undang dan akta sedia ada memadai untuk mendakwa mana-mana pihak yang membuat berita palsu bertujuan memfitnah.

Pada masa sama, katanya, agensi penyiasatan dan penguat kuasa akan diperkasa bagi memastikan kes berita palsu dan fitnah dapat ditangani.

“Pemansuhan akta itu sesuai dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berikrar menghapuskan akta yang menzalimi rakyat dan undang-undang ‘rimba’ kerajaan terdahulu,” katanya menggulung perbahasan RUU itu di Dewan Rakyat.

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dibentangkan di Parlimen pada 27 Mac lalu, sebelum diluluskan pada 2 April, dengan pindaan terhadap hukuman penjara daripada maksimum 10 tahun kepada enam tahun.

Mohamed Hanipa berkata, perintah sementara dalam Akta Antiberita Tidak Benar 2018 terkandung dalam undang-undang sedia ada seperti Akta Kanun Acara Jenayah.

Katanya, akta itu dilihat mengulangi banyak peraturan dalam undang-undang lain.

“Itulah sebabnya kita perlu memansuhkan akta ini,” katanya.

Sepanjang penggulungan kira-kira 30 minit itu, Mohamed Hanipa diasak pelbagai celahan Ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati sambil mengajukan soalan untuk penjelasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.