PH Kedah Akui Janji Tidak Ditunaikan?

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah mengakui terdapat janji-janji yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) Kedah sukar untuk dilaksanakan dalam tempoh 100 hari berikutan masalah kewangan dan prasarana.Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, terdapat janji yang dibuat PH Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dalam keadaan tidak mencukupi maklumat.

“Ada janji yang dibuat dalam keadaan tidak cukup maklumat kerana waktu itu, kami adalah pembangkang. Tapi apabila sudah menjadi kerajaan, terdapat perkara-perkara kita payah nak buat contohnya kerana kewangan kurang.

“Tapi kita tetap nak buat, (kerajaan negeri) kena memikirkan macam mana nak sediakan kewangan yang cukup untuk menunaikan apa yang dijanjikan PH,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, pihaknya mengakui janji untuk mengatasi masalah gangguan bekalan air memang sukar untuk dilaksanakan kerana berkait dengan dana dan prasarana.

“Kita harus akui kadar NRW (air tidak berhasil) di negeri ini antara tertinggi iaitu 48 peratus malah ada kawasan sampai 50 peratus. Saya melihat kerajaan sebelum ini tidak cukup serius untuk menangani NRW.

“Setiap 100 liter air yang dibekalkan, 48 liter hilang… memang sangat membazir. Kalau tidak atasi masalah itu, tak guna buat banyak loji kerana 48 peratus air disalurkan hilang. Merangka satu keluarga, satu rumah juga tidak boleh dilaksanakan dalam 100 hari kerana melibatkan dasar tapi kita ke arah itu,” ujarnya.

Ditanya sama ada janji menilai semula penglibatan ahli politik dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) boleh disifatkan gagal, Mukhriz memberitahu, proses pemilihan jawatan dalam persatuan itu dibuat secara demokrasi yang mana bukan hanya disertai ahli politik kerajaan tetapi pembangkang juga.

“Jadi saya tidak boleh menyuruh ahli politik di pihak kerajaan tarik diri kerana itu akan menyebabkan KFA dimonopoli ahli parti politik dari kalangan pembangkang.

“Bagaimanapun, saya telah memastikan tokoh politik dalam KFA adalah mereka yang benar-benar layak dan mempunyai ‘track record’ baik dan berupaya menyumbang kepada persatuan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu,beliau berkata, janji sumbangan khairat kematian dan penubuhan tabung khas wanita akan dirasmikan pada 1 September ini manakala tabung penyakit kronik dan pusat dialisis serta mahkamah syariah bergerak dilancarkan baru-baru ini.

INFOGRAFIK

Tawaran Pakatan Harapan (PH) Kedah pada PRU-14

10 janji yang ditawarkan untuk dilaksanakan dalam 100 hari

1. Mengatasi masalah gangguan bekalan air

2. Menyediakan sumbangan khairat kematian

3. Menilai semula penglibatan ahli politik dalam KFA

4. Menubuh tabung penyakit kronik dan pusat dialisis

5. Menubuh Tabung Khas Wanita

6. Merangka Satu Keluarga Satu Rumah

7. Membuka Youth Town

8. Menggalakkan pertanian domestik

9. Memperkenalkan Mahkamah Syariah Bergerak

10. Menubuh Task Force untuk selesai masalah tanah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.