Kerajaan PH Cari Alasan Tidak Mansuhkan TOL?

Janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan tol akan dapat dilaksanakan secara berperingkat namun perlu bergantung kepada kemampuan kewangan negara.Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan tidak mempunyai keupayaan untuk menunaikan janji memansuhkan semua tol di seluruh negara pada masa ini.

“Kita boleh kaji balik ia dilakukan secara berperingkat kerana kalau nak buat sekaligus termasuk tol Lebuh Raya Utara-Selatan dan lebuh raya lain, kerajaan tidak ada kemampuan untuk bayar pampasan dan ganti rugi kepada syarikat konsesi terlibat.

“Kita akan memberi keutamaan untuk memansuhkan bayaran tol kepada lebuh raya yang tidak mempunyai jalan alternatif,” katanya selepas program Bakar Lemang Sempena Hari Raya Aidiladha anjuran Masjid Taman Berlian di sini hari ini.

Menurut Amiruddin, kajian lebih lanjut bagaimanapun perlu dilakukan melibatkan semua pihak berkaitan termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan sebelum pemansuhan bayaran tol dapat dibawa ke kabinet.

Dalam pada itu, beliau melihat langkah menghapuskan bayaran tol sepenuhnya bagaimanapun akan memberi impak positif kepada ekonomi terutama berkaitan harga barangan.

“Tol menjadi salah satu daripada komponen yang mereka (peniaga) katakan kami terpaksa jual dengan harga begini sebab kos pengangkutan kami begini.

“Jadi bila tol sudah tidak dikenakan lagi, maka satu komponen daripada kos itu akan hilang seterusnya beri impak (penurunan) kepada harga barangan, perkhidmatan dan sebagainya,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.