Badminton Negara Penuh Skandal

Arena badminton negara sekali lagi digemparkan apabila seorang jurulatih kebangsaan mendakwa beberapa pemain utama terbabit dengan aktiviti pertaruhan ketika sesi latihan.Bukan saja ia berlaku setiap hari di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, malah lebih mengecewakan budaya tidak sihat itu juga dikatakan mendapat galakan daripada jurulatih.

Menerusi emel kepada BAM, jurulatih berkenaan mempersoalkan pendirian badan induk itu terhadap isu perjudian dan mengatur perlawanan serta Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) yang gagal menangani aktiviti jurulatih yang terbabit.

Sumber berkenaan yang enggan mendedahkan namanya, menerusi pendedahan eksklusif kepada Sukan NSTP berkata: “Ini adalah sesuatu yang sudah berlaku sejak sekian lama tetapi beberapa individu di dalam C&T mempunyai agenda tersendiri, jadi isu ini tidak pernah ditangani.

“Secara peribadi, saya tahu pemain yang pergi ke kasino, malah ketika Sukan Olimpik 2012 di London tetapi tiada tindakan diambil.

“Kenapa? Sebab barisan pemain ini adalah rakan-rakan mereka selain mahu melindungi pemain terbabit.”

Di sebalik sering diberi peringatan mengenai hukuman yang bakal dikenakan ke atas mereka sekiranya terbabit dengan aktiviti pertaruhan, perjudian dan mengatur perlawanan, pemain yang terbabit langsung tidak bimbang dan tidak mengendahkannya.

Malah laporan sebelum ini pernah menyatakan mereka yang ditangkap akan diketepikan serta merta.

BAM menerusi Jawatankuasa Peraturan dan Disiplin juga sudah mewujudkan sistem untuk memerangi aktiviti tidak sihat itu.

Skandal terbaru itu pastinya satu lagi tamparan untuk badminton negara selepas dua pemain profesional, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang masing-masing dikenakan hukuman penggantungan selama 20 dan 15 tahun oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana kesalahan mengatur perlawanan awal tahun ini.

Tahun lalu, seorang pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) juga dikenakan hukuman penggantungan selama tiga bulan selepas mengaku kepada jurulatihnya bahawa dia sedang mengalami masalah kewangan sehingga menyebabkannya terbabit dengan aktiviti perjudian dalam talian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.