Bangsa India Tanpa Kewarganegaraan, Penipuan PH Terbongkar

Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan hak seluruh rakyat Malaysia ketika era pemerintahannya malah bersikap adil terhadap semua kaum dalam soal memberikan taraf kewarganegaraan kepada mereka yang benar-benar layak.Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau bersyukur apabila satu lagi fitnah yang dilemparkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) terhadap kerajaan BN dahulu telah diperbetulkan hari ini.

“Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman mengesahkan di dalam Dewan Negara bahawa jumlah kes bangsa India tanpa kewarganegaraan di Malaysia adalah 3,853 dan bukan 300,000 seperti didakwa oleh ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Faktanya, 1,638 daripada 3,853 kes-kes ini juga telah diselesaikan di bawah kerajaan BN pimpinan saya dahulu,” katanya dalam catatan Facebook beliau hari ini.

Menurut Najib, walaupun beliau dan pemimpin-pemimpin MIC telah banyak kali memberi penjelasan angka sebenar, BN sering dituduh sebagai menipu oleh beberapa pemimpin-pemimpin PH kaum India yang bertegas jumlah kes melebihi 300,000.

“Mereka menggunakan isu ini sebagai isu utama untuk membuat demonstrasi dan dalam ceramah-ceramah untuk menaikkan kemarahan kaum India terhadap kerajaan BN.

“Dengan pendedahan kerajaan PH mereka sendiri tentang jumlah kes yang benar, adakah pemimpin-pemimpin PH ini akan meminta maaf kerana telah ‘tersalah kira’ dua tempat titik perpuluhan,?” katanya.

Mohd Azis ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini menjelaskan angka 300,000 itu adalah maklumat yang dikumpul sendiri ahli Parlimen pembangkang sebelum Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibentuk dan maklumat itu bukan dikeluarkan kementerian itu.

Menurutnya, berdasarkan statistik kementerian sehingga 31 Mei lalu hanya 3,853 permohonan kewarganegaraan diterima dalam kalangan masyarakat India dan 1,683 sudah diluluskan manakala baki 2,215 permohonan masih dalam proses.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk T Mohan yang mempersoal kesahihan angka 300,000 kaum India tiada dokumen pengenalan diri yang dibangkitkan sebelum ini sehingga menyebabkan MIC kehilangan kepercayaan pengundi pada PRU-14.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.